Komuniti 1Malaysia yang ditubuh dan diselia Jabatan Penerangan memainkan peranan penting dalam mendokong dan menjelaskan gagasan 1Malaysia kepada semua lapisan masyarakat.
Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul berkata Komuniti 1Malaysia yang merupakan pertubuhan sukarela yang dianggotai rakyat pelbagai kaum berkenaan penting kerana ia menjadi perantara antara rakyat peringkat akar umbi dan kerajaan.
“Maka Komuniti 1Malaysia merupakan salah satu ejen kerajaan bagi memantapkan lagi perpaduan antara rakyat khususnya bagi penduduk luar bandar melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan,” katanya ketika berucap sempena Program Wacana 1Malaysia di sini hari ini.
Program yang dihadiri lebih 300 peserta termasuk 250 anggota Komuniti 1Malaysia dari Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Hamisa Samat.
Menurut Almain gagasan 1Malaysia yang menggariskan lapan nilai untuk memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 perlu difahami semua lapisan masyarakat dan Komuniti 1Malaysia merupakan ejen yang masih berkesan untuk tujuan itu.
Lapan nilai penting yang mendasari gagasan 1Malaysia berkenaan ialah Budaya Berprestasi Tinggi, Budaya Ketepatan, Budaya Ilmu, Integriti, Ketabahan,Kesetiaan, Kebijaksanaan dan Budaya Inovasi, katanya.
“Walaupun perubahan waktu dan teknologi sumber maklumat kini serba canggih tetapi Komuniti 1Malaysia masih mampu memberikan peranannya sebagai sumber maklumat antara kerajaan dan rakyat,” katanya.
— Bernama