Kecuaian di dalam menggunakan peralatan memasak merupakan punca yang dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai penyebab beberapa kes kebakaran.
Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Rashid Musi berkata, peralatan mudah terbakar juga sering diletakkan berhampiran dengan kawasan memasak yang boleh menyebabkan api merebak dengan mudah.
Oleh itu, golongan suri rumah dinasihatkan supaya menitikberatkan aspek keselamatan di rumah terutamanya ketika memasak di dapur, kata beliau selepas menghadiri Seminar Keselamatan Kebakaran bersama suri rumah .
Seminar yang berlangsung di Batu 3, di Sandakan juga dihadiri oleh ahli Persatuan Wanita, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Isteri Pegawai Penjara, Bomba dan Tentera.
Penganjuran seminar tersebut yang merupakan aktiviti bulanan Bomba, diharap akan dapat memberi pengetahuan kepada suri rumah dan wanita dalam mencegah kebakaran di rumah atau di mana-mana sahaja, kata Rashid sambil menambah bahawa kelalaian seperti meninggalkan api masakan dalam jangka masa yang lama juga turut menyumbang kepada kebakaran.
Dalam seminar tersebut, aspek-aspek dan langkah-langkah pencegahan seperti cara-cara menggunakan alat pemadam api yang betul untuk memadam kebakaran, telah dikongsi bersama peserta.