Sebuah bot nelayan yang pecah dipukul ombak besar ditemui terdampar di Pantai Tok Jembal berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata empat nelayan asing yang berada dalam bot milik warga tempatan yang didaftar di Johor itu sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai pada kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam.
“Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan empat orang nelayan asing berenang ke darat dan terus menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya polis menahan seorang daripada nelayan itu yang berasal dari Kemboja di sebuah kedai kopi di Kampung Tok Jembal sejurus selepas kejadian itu.
“Tiga lagi rakannya yang berasal dari Kemboja dan Thailand ditahan berdekatan sebuah sekolah di kampung berkenaan kira-kira pukul 12 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati keempat-empat nelayan yang berusia 23 hingga 27 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
— Bernama