Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) akan melancarkan `Kempen Rakyat Selamatkan Malaysia` yang akan berlangsung selama dua minggu bermula 28 Mac sehingga 8 April ini.
Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab razab berkata kempen ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai situasi semasa dan langkah yang perlu dimainkan oleh semua pihak untuk merawati keparahan kondisi politik Malaysia.
Menurutnya, antara agenda yang akan digerakkan ialah, program mahasiswa bertemu rakyat, forum politik dalam kelambu, `Speaker’s Corner` Pimpinan Mahasiswa di kampus seluruh negara, dan pelbagai lagi program yang akan dimampatkan dalam masa dua minggu.
“SMM meletakkan sasaran untuk menutup kempen ini dengan mengadakan himpunan besar-besaran dengan tema “Himpunan Rakyat untuk Politik Bersih Dan Adil’,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata beberapa faktor asas yang mendorong SMM untuk melancarkan ‘Kempen Rakyat Selamatkan Malaysia’ ialah berhubung isu video seks pemain politik kotor menghasilkan pemerintahan bobrok.
Menurutnya, SMM tidak melihat isu video seks sebagai isu tunggal yang perlu diberi perhatian, namun mahasiswa lebih suka untuk menilai isu yang berlaku adalah hasil daripada pemain politik yang kotor lantas menghasil budaya pemerintahan yang bobrok.
“SMM beranggapan tidak perlu diragui lagi betapa rosaknya integriti seorang pemimpin yang sanggup mendendangkan politik murah demi menjatuhkan pesaing politik,” katanya.
Ahmad Syukri berkata sudah pasti sistem pemerintahan negara akan semakin tempang jika pemimpin yang tidak berintegriti ini terus dibenarkan untuk menduduki kerusi pentadbiran.
“Oleh itu SMM menyarankan agar pihak kerajaan segera melakukan pemutihan dalam kerusi pentadbiran negara agar suasana politik Malaysia kembali berteraskan nilai dan peradaban,” ujarnya.