Pasti lulus: RM130 untuk lesen motosikal kelas B2

Pasti lulus: RM130 untuk lesen motosikal kelas B2

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk mengadakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi golongan muda yang tidak berkemampuan khususnya pelajar sekolah yang cukup umur untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk mengadakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi golongan muda yang tidak berkemampuan khususnya pelajar sekolah yang cukup umur untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.

Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ Zairi Mat Ali berkata permintaan daripada golongan itu bagi mendapatkan lesen sudah ada dan pihaknya masih membuat kajian tentang perkara itu.

“Kajian ini memakan masa yang lama sebab kita nak libatkan institut memandu dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk melaksanakan program itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program SKSJ Parlimen Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini program SKSJ hanya bagi warga emas di mana JPJ akan menguruskannya 100 peratus, tetapi untuk program kepada golongan muda, JPJ perlu mendapatkan kerjasama institut memandu dan PIBG sekolah.

“Adakah PIBG dan institut memandu bersetuju dan bagaimana kaedah-kaedah yang perlu kita jalankan, itu semua masih dalam kajian dan pemerhatian kami,” katanya.

Bagi program SKSJ untuk mereka yang berumur 45 tahun ke atas, Zairi berkata sejak 2008 sehingga hari ini seramai 1,385 orang di Kedah telah menerima lesen memandu percubaan ‘P’ kelas B2.

“Kita memberi lesen tersebut kepada mereka yang layak tidak kira jantina dan kaum. Pihak jawatankuasa akan membuat penilaian dan meneliti latar belakang pemohon iaitu mereka mesti tidak berada dalam senarai hitam JPJ dan juga tiada kesalahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata bayaran yang dikenakan adalah mengikut negeri masing-masing dan di Kedah, bayarannya adalah sebanyak RM130 dan peserta perlu melalui proses ujian selama tiga bulan.

“Untuk kes ini, kita akan pastikan semua lulus. Mereka yang gagal mungkin disebabkan mereka sakit dan tidak boleh hadir semasa ujian.”

Sebenarnya ada antara mereka sudah menunggang motosikal lebih 20 tahun.

Kerana kesempitan hidup dan beberapa kali gagal dalam ujian JPJ menyebabkan mereka tidak mengambil lesen dan kerana itulah kita mengambil inisiatif untukadakan program seperti ini,” katanya.

– Bernama