Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pelajar politeknik yang disyaki terbabit dalam kegiatan curi motosikal di beberapa daerah di negeri ini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Mohd Nadzri Hussain berkata ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 dan 21 tahun itu ditahan dalam satu operasi membabitkan anggota polis yang menyamar sebagai pembeli di Kampung Katong, Pauh dekat sini.
“Mereka ditahan pukul 5.30 pagi dalam operasi khas dan hasil pemeriksaan ke atas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki ketiga-tiga lelaki tersebut polis menemui beberapa komponen motosikal,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata komponen terbabit dipercayai dileraikan daripada sebuah motosikal milik seorang pelajar politeknik di sini, yang dilaporkan hilang tengah hari semalam.
“Dengan tertangkapnya suspek-suspek itu, pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Arau percaya menyelesaikan kes kecurian motosikal pelajar itu dalamtempoh 24 jam,” katanya.
Dalam pada itu katanya, polis kini menyiasat pembabitan ketiga-tiga lelaki tersebut dalam beberapa kejadian mencuri motosikal di Arau dan juga Kangar sejak kebelakangan ini.
Siasatan itu berikutan penemuan komponen motosikal di rumah salah seorang daripada mereka di Alor Setar, Kedah, katanya.
Mohd Nadzri berkata salah seorang daripada mereka juga dikehendakki IPDKangar bagi membantu siasatan kecurian motosikal di daerah tersebut.
– Bernama