Rokok bernilai RM5,800, cukainya RM27,553

Rokok bernilai RM5,800, cukainya RM27,553

Pasaran rokok seludup kian giat.

Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah menahan seorang lelaki yang membawa 295 karton rokok seludup bernilai RM5,800 melibatkan cukai bernilai RM27,553 di Jalan Tokong Yard di sini hari ini.

Komander UPP Kedah Mohd Jasri Othman berkata hasil maklumat awam pihaknya yang diketuai oleh Komander UPP Kuala Kedah Wan Mazlan Endut dan dua anggota menahan suspek berusia 44 tahun yang dipercayai dari Pulau Pinang ketika dia menuju ke sebuah kedai runcit di Jalan Tokong Yard untuk menjual rokok yang diseludup dari Langkawi kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Ketika pemeriksaan di dalam kereta jenis Proton Saga yang dipandu suspek terdapat 16 kotak yang diisi rokok seludup pada bahagian but kereta dan empat kotak lagi diletakkan di bahagian tempat duduk belakang yang ditutup dengan kain hitam bagi mengelak diketahui pihak berkuasa.

“Suspek yang juga peniaga barang plastik di Alor Setar mengaku menjalankan kegiatan ini sejak lima bulan lalu.

“Suspek menggunakan modus operandi berbeza daripada penyeludup sebelum ini yang menggunakan jeti Kuala Kedah, dengan mengambil bekalan berkenaan dari Pulau Pinang sebelum dipasarkan di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar,” katanya pada sidang media di pejabat UPP Kuala Kedah di sini hari ini.

“Rokok yang diseludup dari Pulau Langkawi itu dijalankan oleh satu sindikit yang berpangkalan di Pulau Pinang bagi mengelak diketahui pihak berkuasa yang sentiasa mengawal kegiatan penyeludupan di Jeti Kuala Kedah,” kata Jasri.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu suspek tidak didaftarkan atas namanya sebaliknya didaftarkan atas nama pemilik lain dan suspek mendakwa kereta berkenaan dibeli olehnya dan tidak sempat untuk menukar nama pemilik.

UPP akan menyerahkan suspek kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda 10 kali nilai barang atau cukai dan tidak melebihi 20 kali nilai atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Jasri berkata untuk tahun ini, sehingga kini pihak UPP Kuala Kedah berjaya merampas 1,385 karton rokok seludup bernilai RM25,848 dengan jumlah cukai RM113,077.

– Bernama