Dua syarikat automotif negara, Proton Holdings Bhd dan Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), jika digabungkan akan dapat mengatasi masalah struktur dalam industri automotif tempatan, Dewan Rakyat diberitahu baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed berkata kajian oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) itu menunjukkan industri automotif tempatan akan menjadi lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran luar negara sekiranya masalah struktur itu dapat diatasi.
Melalui penggabungan itu, katanya masalah struktur seperti kenaikan kos tetap dapat dikurangkan dengan peningkatan pengeluaran penggunaan kapasiti.
“Kos komponen yang tinggi juga dapat dikurangkan melalui program pembangunan vendor dan sistem perolehan berskala besar,” katanya semasa menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mahu tahu rumusan daripada kajian penggabungan Proton dan Perodua pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Katanya, kajian penggabungan tersebut telah dibentangkan di Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada Januari lepas.
Mesyuarat itu bersetuju agar penggabungan Proton dan Perodua dibuat secara progresif.
“Buat peringkat awal ini, kedua-dua syarikat telah mengenal pasti bidang kerjasama strategik yang boleh diterokai bagi meningkatkan penggunaan kapasiti dan daya saing mereka,” katanya.
— Bernama