Isteri pertama mengamuk, mentua cedera

Isteri pertama mengamuk, mentua cedera

Amukan isteri pertama berusia 31 tahun itu, yang dikatakan bertugas sebagai guru Fardu Ain, turut menyebabkan ibu mentua lelaki berkenaan cedera selepas terkena parang tumpul yang dibawanya.

Seorang pekerja kilang cedera diserang isteri pertama di rumah isteri keduanya di Kampung Pasir Tok Kambing, Kedai Lalat dekat sini hari ini.

Amukan isteri pertama berusia 31 tahun itu,  yang dikatakan bertugas sebagai guru Fardu Ain, turut menyebabkan ibu mentua lelaki berkenaan cedera selepas terkena parang tumpul yang dibawanya.

Mangsa, 30, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 8 pagi.

“Ketika kejadian, saya baru sahaja selesai mandi, tiba-tiba terdengar jeritan dan kekecohan dari luar rumah sebelum saya keluar dan melihat isteri pertama saya sedang menendang pintu rumah sebelum bergelut dengan saya.

“Dia yang datang seorang diri, membawa sebilah parang tumpul dan cuba melibasnya ke arah saya, bagaimanapun, ketika mengelakkan diri dari serangan itu, ibu mentua saya pula terkena libasan parang berkenaan, menyebabkan dia cedera di tangan,” katanya kepada pemberita.

Mangsa, yang mempunyai lima cahaya mata dengan isteri pertama, turut cedera di beberapa bahagian badan dan muka ekoran digigit serta dicakar.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Binjai dan dirujuk ke Balai Polis Kota Baharu.

Menurutnya, beliau tidak pulang ke rumah isteri pertama hampir dua bulan kerana bekerja di Kuala Lumpur, dan mereka kini dalam proses bercerai.

Bagaimanapun, beliau menafikan perkara itu berlaku disebabkan perkahwinan dengan isteri kedua yang berusia 19 tahun sejak tiga bulan lepas kerana ia mendapat persetujuan isteri pertamanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

— BERNAMA