Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Ahmad Jusoh.
Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat MelayuPerlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita kedalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.
Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.
Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda,kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat.
Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin.
– Bernama