117 warga asing dalam Ops Kutip di Tawau

117 warga asing dalam Ops Kutip di Tawau

Pengarah Imigresen Sabah Mohammad Mentek berkata mereka terdiri daripada 104 warga Indonesia dan 13 rakyat Filipina yang ditahan di atas pelbagai kesalahan bersabit Akta Imigresen.

Jabatan Imigresen Tawau berjaya menahan 117 warga asing dalam tiga operasi di sekitar bandar Tawau semalam.

Pengarah Imigresen Sabah Mohammad Mentek berkata mereka terdiri daripada 104 warga Indonesia dan 13 rakyat Filipina yang ditahan di atas pelbagai kesalahan bersabit Akta Imigresen.

Dalam operasi di kawasan Batu-Batu, seramai 24 orang iaitu 16 rakyat Indonesia dan lapan warga Filipina ditahan, manakala dalam operasi di sekitar pelabuhan dan pasar ikan Tawau 69 lagi ditahan meliputi 66 warga Indonesia dan bakinya warga Filipina, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Operasi Kutip di sekitar Stesen Bas Lama Tawau pula menyaksikan 24 ditahan dengan 22 dari Indonesia dan bakinya rakyat Filipina.

“Kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah  Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan  di bawah Seksyen 15 (1) (c) akta yang sama iaitu tinggal melebihi masa,” kata Mohammad

Kesemua warga asing terbabit ditempatkan di pusat tahanan sementara untuk siasatan lanjut, katanya.

Beliau berkata operasi itu yang bermula dari 10 pagi hingga 6 petang disertai 34 pegawai Imigresen Tawau.

“Saya mengucapkan tahniah kepada 34 pegawai Jabatan Imigresen Tawau kerana berjaya  melaksanakan ketiga-tiga operasi tersebut sehingga berjaya menahan 117 orang dalam tempoh  sehari,” katanya.

–BERNAMA