REHDA bantah pindaan Akta Pemaju Perumahan

REHDA bantah pindaan Akta Pemaju Perumahan

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) membantah pindaan kepada Akta Pemaju Perumahan. Pindaan ini akan memberi perlindungan kepada pembeli-pembeli rumah.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) merancang menyerahkan memorandum mengenai cadangan pindaan kepada Akta Pemajuan Perumahan (Akta 118).

Baru-baru ini dilaporkan bahawa akta tersebut akan dipinda untuk menangani masalah projek perumahan terbengkalai di negara ini.

“Kami berusaha untuk mendapatkan formula yang disasarkan untuk mengelakkan berlakunya projek terbengkalai, dan isu ini perlu diselesaikan pada peringkat tinggi kerana ia melibatkan beberapa kementerian berbeza dan bukan hanyaKementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” kata Presiden REHDA Datuk MichaelYam.

Beliau berkata memorandum itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi daripada kementerian perumahan.  Di bawah cadangan pindaan itu, deposit yang lebih tinggi akan diperlukan untuk mendapatkan lesen pemaju bagi memastikan pemaju melaksanakan projek yang selaras dengan keupayaan kewangan mereka.

Ia mungkin juga membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek mereka.  Bagaimanapun, Yam berkata sekiranya deposit bagi lesen dinaikkan, kemungkinan akan ada lebih banyak masalah aliran tunai bagi pemaju untuk menyiapkan projek dan kemungkinan terdapat pertambahan dalam bilangan projek terbengkalai.

Beliau berkata demikian di pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2011, di sini, hari ini.

Ketika ini deposit bagi lesen pemaju ialah RM200,000 dan ia adalah syarat-syarat bagi mereka untuk membina dan menjual pembangunan mereka, bersama dengan permit pengiklanan yang dikawal selia.

Yam berkata memorandum itu ketika ini sedang dibincangkan dengan Majlis Nasional REHDA dan ia mungkin diserahkan dalam masa dua bulan.

Sementara itu, MAPEX (18-20 Mac) dijangka menarik sekurang-kurangnya 60,000 hingga 70,000 pengunjung. Ia mempamerkan lebih 7,000 unit hartanah dengan nilai runcit lebih RM7 bilion.

–BERNAMA