Masyarakat di sekitar daerah Sandakan dijemput untuk menghadiri Program 1Malaysia Membanteras Dadah yang akan diadakan bermula pada 19 sehingga 20hb Mac bertempat di Balai Raya Kampung Bokara.
Menurut Pengerusi Penganjur Rukun Tetangga Bokara, Hajah Rukiah@Annang OKK Haji Damsal, antara objektif program tersebut adalah untuk memberi kefahaman tentang bahaya najis dadah kepada masyarakat selain daripada membantu kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah melalui program kemasyarakatan tersebut.
“Antara pengisian program pada hari pertama adalah pertandingan mewarna corak 1Malaysia untuk kanak-kanak, melukis poster 1 Malaysia membanteras dadah untuk remaja, pertandingan pidato antidadah dan pertandingan catur kategori terbuka.” ujar Rukiah.
Beliau juga menyatakan bahawa hari kedua pula adalah seminar dan pameran antidadah dari agensi antidadah kebangsaan, selain persembahan nasyid anti dadah dan tarian daling-daling oleh persatuan kesenian dan kebudayaan yang terdiri daripada ahli rukun tetangga Kampung Bokara.
Program dua hari tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen Thau Lin, pada Ahad 20 Mac.