Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed telah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengeluarkan arahan melarang remaja bawah umur berada di kawasan bandar raya, jalan raya dan lokasi tertentu pada lewat malam.
Katanya larangan itu perlu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan berbasikal yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam baru baru ini.
“Larangan dicadangkan dikuatkuasakan kerajaan negeri untuk ‘tuan punya tapak’ lokasi atau premis supaya tidak membenarkan remaja bawah umur berada di lokasi atau premis mereka pada lewat malam. Contohnya, Majlis Bandaraya Johor Bahru yang bertanggungjawab ke atas Dataran Bandaraya Johor Bahru,” katanya.
Anggota Parlimen Pulai berkata demikian selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulai. Mengikut beliau cadangan itu tidak perlu dilakukan di semua negeri memandangkan masalah melibatkan remaja bawah umur yang keluar lewat malam hanya berleluasa di Johor dan Lembah Klang.
Menurut Nur Jazlan, ibu bapa memarahi pihak berkuasa kerana menuduh anak mereka berkeliaran waktu malam sedangkan beban mengawasi anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa.
Tindakan drastik perlu dilakukan dalam mengawasi remaja bawah umur supaya pelbagai pihak tidak terus menyalahkan polis sedangkan pihak berkuasa sudah melakukan tanggungjawab.
“Menerusi cadangan kepada kerajaan negeri itu, saya bukan menyuruh remaja bawah umur ini dikenakan perintah berkurung, cuma, mereka tidak dibenarkan berkeliaran di bandar raya dan lokasi tertentu khususnya jalan raya kerana di bandar banyak ancaman termasuk jenayah.