Lebih kurang 100 penduduk dari Subang Perdana, Pekan Subang dan Kampung Cina berkumpul dalam keadaan cuaca hujan renyai, untuk membantah penutupan simpang jalan ke Pasaraya Econsave menuju ke Pekan Subang.
Mereka berpendapat bahawa penutupan jalan itu tidak membawa apa-apa faedah dan hanya menyusahkan penduduk di sekitar Kampung Baru Subang kerana terpaksa membuang masa untuk membuat pusingan ‘U’.
Susulan daripada itu, kira-kira 750 penduduk telah menandatangani memorandum untuk membantah penutupan jalan tersebut. Tandatangan ini telah dikumpul sejak dua bulan dahulu.
Salah seorang penduduk Kampung Cina, Loh Ah Soon, 58 (kanan), berkata penutupan jalan itu menyusahkan penduduk Kampung Cina untuk ke Pekan Subang dan Subang Perdana.
Menurutnya, jika dahulu mereka hanya mengambil masa yang singkat untuk keluar ke Pekan Subang tetapi kini pada setiap pagi mereka terpaksa menempuh kesesakan di simpang empat lampu isyarat menuju ke Shah Alam – Sungai Buloh.
“Ini tidak adil bagi kami di sini kerana sepatutnya penutupan simpang ini dibuat selepas membuat kajian bersama penduduk setempat sebelum ianya dilaksanakan,” katanya.
Bagi penduduk Pekan Subang, Tang Yum Chong, 58, berkata simpang jalan itu tidak sepatutnya ditutup kerana ianya turut menyukarkan kenderaan berat termasuk lori untuk ke kawasan industri di situ.
“Simpang lampu isyarat untuk buat pusingan ‘U’ agak sempit dan merbahaya, jika lori hendak buat pusingan ‘U’ ianya terpaksa dibuat di lokasi yang agak jauh, berhampiran dengan Kelab Golf Monterez,” katanya.
Tambahnya, keadaan simpang lampu isyarat yang sedia ada juga berisiko tinggi kepada penduduk yang ingin menghantar anak ke sekolah kerana keadaanya yang sempit ditambah dengan kehadiran kenderaan yang banyak pada waktu pagi.
Sementara itu, Siti Zuhaida Ahmad yang menetap di Subang Perdana menyatakan bahawa setiap hari dia terpaksa membuang masa yang agak lama kerana terpaksa menempuh kesesakan di jalan itu.
“Kalau dulu ke tempat kerja 15 minit sahaja tetapi sekarang dah jadi setengah jam tambah lagi keadaan jalan yang sesak apabila tiba musim hujan,” katanya
Menurutnya, simpang di hadapan pasaraya itu perlu dikekalkan bagi memberikan kemudahan kepada penduduk setempat.
750 penduduk tandatangani memorandum
Sementara itu, Pengurus Econsave, N Nagaragithem berkata penutupan simpang itu turut menjejaskan pengunjung di pasaraya berkenaan.
“Kehadiran pelanggan amat berkurangan disebabkan perkara ini dan kita juga menerima banyak rungutan terutama daripada penduduk setempat yang sukar untuk ke pasaraya untuk membeli kemudahan harian,”katanya
Menurutnya lagi sebelum ini satu bantahan secara rasmi mengenai penutupan simpang jalan di hadapan pasaraya itu telah dibuat pada Julai tahun kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor namun tiada tindakan diambil.
“Kami telah ke pejabat JKR namun malangnya perkara ini tidak langsung diberi perhatian,”katanya.
Tambahnya pihaknya telah mengumpulkan lebih kurang 750 tandatangan penduduk dalam memorandum yang diserahkan kepada Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa.
Bincang dengan JKR dalam waktu terdekat
Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa berkata satu pertemuan dengan pihak JKR Selangor akan dibuat dalam waktu terdekat.
Beliau difahamkan bahawa simpang jalan itu ditutup kerana terpaksa memberi laluan kepada projek pembesaran jalan sejauh 4.3 kilometer yang bernilai RM 3.7 juta.
“Kami harap pada perbincangan akan datang ini nanti beberapa perkara akan diambil kira semula termasuk pembesaran simpang lampu isyarat untuk pusingan ‘U’ dan meletakkan lampu isyarat di hadapan pasaraya itu,”katanya.
Jelasnya perkara itu perlu dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat bagi mengelakkan kesesakan, risiko kemalangan dan sebagainya.