Penduduk di Labuan telah diminta untuk berwaspada dari pukul 6 petang tadi sehingga tengah malam ini berikutan dengan bencana tsunami yang melanda Jepun petang tadi.
Arahan berjaga-jaga tersebut telah dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi.
Setakat jam 9.30 malam tadi tiada sebarang amaran baru yang di keluarkan oleh pihak berkuasa tempatan mengenai ancaman tsunami kepada penduduk sepanjang pesisir pantai pulau Labuan ini.
Komunitikini yang telah melakukan tinjauan awal petang tadi mendapati tiada sebarang tanda amaran dikeluarkan atau dipaparkan di kawasan pesisir pantai sekitar pulau Labuan.
Malah, keadaan Laut Cina Selatan yang mengelilingi Labuan juga didapati tenang tanpa sebarang gelora besar.
Seorang penduduk tempatan yang tinggal di pesisir pantai, Tuan Hj. Ibrahim, menyatakan setakat ini tiada sebarang maklumat ataupun arahan mengenai ancaman ombak besar ataupun air pasang tinggi melebihi paras normal dari pihak berkuasa.
Maklumat yang diperolehi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan setakat ini, hanyalah arahan untuk bersiap sedia menghadapi sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Setakat ini iada maklumat baru yang diperolehi dari pihak berkuasa lain.
Satu gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala Richter telah melanda Pantai Honshu, Jepun pada 1.46 petang kira-kira 4,434 kilometer dari timur laut Kudat, Sabah.
Serentak dengan perkembangan itu, beberapa negara seperti Cina dan Taiwan juga mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduknya supaya berpindah.
Walaubagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan untuk Malaysia.