Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan melancarkan “Ops Kesan” selama sebulan bermula hari ini bagi mengesan mana-mana majikan yang belum mencarum bagi pekerja masing-masing.
Pengarahnya, Zaini Ab Latiff berkata operasi itu akan turut digerakkan pada waktu malam bagi premis perniagaan, terutama gerai makanan dan restoran.
Katanya majikan yang gagal mencarum pekerjanya dengan jabatan itu dalam tempoh operasi berkenaan akan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah.
Majikan yang gagal mencarum dengan Perkeso boleh dikenakan kompaun antara RM300 hingga RM1,500, dan sekiranya mereka menjelaskan kompaun dalam masa seminggu, mereka akan diberi pengecualian sebanyak 75 peratus, katanya kepada Bernama.
Jika tidak, mereka boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.
– Bernama