Satu rakaman video aksi seorang individu melakukan penderaan dan seksaan ke atas anak kucing telah dimuat turun di laman sosial Facebook baru-baru ini sekali gus mencetus kemarahan orang ramai menyaksikannya.
Video bertajuk ‘Malaysia Serdang rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV)’ telah dirakam di salah satu sudut lorong bangunan.
Rakaman video sepanjang lima minit itu menunjukkan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan individu terbabit mendera dan menyeksa dua ekor anak kucing menggunakan payung sehingga kaku dan tidak bergerak.
Susulan tindakan kejam itu, segelintir pengguna Facebook berjaya mengesan serta memperolehi identiti individu dipercayai ‘gadis tomboy’ melakukan penderaan tersebut.
Gambar ‘gadis tomboy’ memakai pakaian dan topi yang sama pada kejadian turut disebarkan di laman Facebook bersama dengan rakaman video terbabit.
Berdasarkan maklumat diperolehi, Komunitikini melakukan tinjauan kira-kira jam 3 petang ke gerai menjual makanan dan minuman di lokasi pasar Kampung Baru Serdang dipercayai tempat gadis tomboy bekerja.
Setelah menghampiri gerai dan bertanyakan beberapa soalan berkaitan, salah seorang wanita separuh usia yang enggan dikenali menafikan dakwaan gadis tomboy bekerja di premisnya.
“Sekarang benda masih tak pasti, tunggulah nanti kamu akan tahu perkara yang sebenar,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peniaga hanya dikenali sebagai Siew ketika ditemui memberitahu bahawa gadis tomboy bekerja di gerai tersebut.
“Saya ada baca suratkhabar semalam pasal isu dera ini, memang benar dia bekerja di situ,” dakwanya.