Satu banjir besar telah melanda Kampung Sugud, Penampang beberapa hari lalu, apabila hujan lebat turun dengan mendadak pada sebelah petang.
Beberapa keluarga di Kampung Sugud terpaksa keluar melalui tingkap rumah kerana arus deras menyekat pintu utama rumah mereka.
Air mula naik sejurus hujan turun kira-kira jam 4 petang. Penduduk Kampung Sugud tidak menyangka air akan naik secara mendadak kerana pada jam 5 petang, air sudah menjadi semakin deras menyebabkan terperangkap di dalam rumah.
Air hanya mula surut sekitar jam 9 malam dan penduduk kampung tersebut mula membersihkan lumpur yang telah penuh di dalam rumah masing-masing.
Kawasan Kampung Sugud sememangnya sudah lama menjadi kawasan banjir kerana sungai berhampiran yang sempit dan berliku-liku. Ini ditambah dengan buluh yang telah patah dan jatuh di tebing sungai, yang menghalang aliran air yang sempurna.
Setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Sugud bukan sahaja berdepan dengan masalah kerosakan harta benda tetapi juga kehilangan binatang ternakan yang hanyut dibawa air deras.
Penduduk Kampung Sugud sering kali berdepan dengan ancaman banjir ini setiap kali hujan turun dengan lebat. Oleh itu, mereka memohon pihak yang sudi membantu mereka untuk mengatasi masalah ini untuk tampil ke depan.