Mengekalkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat untuk dikunjungi dan didiami merupakan cabaran besar bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dengan kepadatan penduduk mencecah hampir dua juta, bandar raya yang menjadi tumpuan lebih sembilan juta pelancong dan lubuk mencari rezeki penduduk tempatan dan warga asing itu juga adalah pusat segala aktiviti termasuk jenayah.
Menyedari hakikat itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Zulkifli Abdullah berkata usaha berterusan memerangi jenayah di bandar raya perlu dilakukan secara lebih menyeluruh dengan membabitkan banyak pihak bagi memastikan kesan maksimum terutama dalam mematahkan sindiket jenayah yang ada.
“Saban hari Polis KL berdepan dengan pelbagai jenis penjenayah tempatan dan antarabangsa yang ligat mencari peluang melakukan jenayah di bandar raya ini sebelum mula bergerak ke negeri lain.
“Kedatangan pelancong asing yang mengambil peluang menjadi penjenayah kecil-kecilan sebelum merebak menjadi penjenayah utama khasnya dalam jenayah dadah cukup membimbangkan sejak kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita dalam temu bual sempena Hari Polis ke-204 yang akan disambut pada 25 Mac.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas 10 sindiket dadah rakyat asing berjaya ditumpaskan dan sehingga Febuari tahun ini, empat sindiket dadah membabitkan rakyat asing ditumpaskan.
“Kami memandang serius perkara ini, terutama pihak asing yang cuba menjadikan Kuala Lumpur sebagai transit dadah,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan bandar raya ini selamat, pihaknya juga memerlukan kerjasama pelbagai agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan sukarelawan polis.
Selain itu, Zulkifli berkata mata dan telinga orang ramai juga diperlukan bagi memastikan jenayah jalanan seperti ragut dan samun dapat dibanteras.
“Ketika ini terdapat hampir 90,000 anggota Program Rakan Cops di pusat bandar raya ini yang banyak membantu kami dengan menyalurkan maklumat pantas kepada polis jika berlaku sesuatu kes,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan menggunakan pendekatan menyalurkan maklumat menggunakan papan tanda gergasi di kawasan tumpuan orang ramai bagi memaparkan sebarang maklumat jenayah.
Perkara itu akan dilaksana bulan ini, kata Zulkifli, yang yakin dengan cara ini, kerjasama masyarakat dengan polis akan lebih erat dan mengurangkan factor takut dengan kehadiran polis.
“Saya percaya dengan setiap usaha yang disebutkan ini, jenayah dapat dikurangkan di bandar raya ini sekaligus dapat mewujudkan sebuah bandar raya yang diiktiraf sebagai bandar raya bertaraf dunia yang selamat,” katanya.
– Bernama