Beberapa pusat hiburan diserbu dalam satu operasi bersama melibatkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sekitar kawasan Klang baru-baru ini.
Pengarah Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom berkata operasi berkenaan juga tertumpu di beberapa rumah urut dalam usaha membanteras kegiatan tidak bermoral khususnya di kalangan golongan muda.
“Hasil pemeriksaan dalam serbuan itu, dua orang pelanggan ditahan untuk disoal siasat kerana disyaki positif dadah setelah ujian air kencing dijalankan,” katanya.
Andry berkata, pihaknya menjangkakan beberapa siri operasi akan diadakan lagi melibatkan kakitangan penguatkuasaan dan AADK.
Mengulas lanjut, menurutnya operasi bersama ini julung kali diadakan dan pihaknya akan memperhebatkan lagi serbuan pada masa akan datang.
“Malah beberapa lokasi yang sering menjadi tumpuan juga telah dikenalpasti terutama melibatkan pusat hiburan sekitar kawasan ini,” katanya.
Andry berkata, selain daripada operasi , pihaknya juga menyita sebuah rumah urut yang gagal mematuhi peraturan berkaitan lesen premis di situ.
“Selain daripada pusat hiburan pihaknya juga kini sedang memperhebatkan operasi melibatkan pusat siber, peniaga warga asing dan gerai haram yang ada di kawasan itu,” katanya.