Komentar: Guru Sabah atau Guru Semenanjung?

Komentar: Guru Sabah atau Guru Semenanjung?

Artikel ini memberi perspektif yang perlu dipertimbangkan ekoran wujudnya cadangan agar rakyat Sabah diutamakan untuk menjadi guru di negeri Sabah. Implikasi dari aspek pendidikan ini perlu dijelaskan agar pihak yang terlibat dapat mengambil kira aspek-aspek ini sebelum cadangan tersebut dilaksanakan.

Sabah merupakan sebuah negeri yang luas dengan demografi penduduk daripada pelbagai suku bangsa. Suku bangsa ini sinonim dengan beberapa daerah yang spesifik, contohnya suku Bajau di Semporna dan Kota Belud, suku Rungus di Kudat, suku Sungai di Sandakan dan seterusnya.

Diversiti demografi ini masih kukuh di Sabah dan identiti suku berdasarkan daerah asal masih dipegang dengan utuh kecuali di bandar besar dan penempatan terancang seperti FELDA.

Diversiti ini walaupun unik tetapi mewujudkan satul lagi masalah kerana ia mewujudkan pola bahasa pertuturan yang berlainan di setiap daerah di negeri Sabah mengikut dominasi suku bangsa.

Lanjutannya, pola bahasa pertuturan ini menjadi satu masalah besar kerana ia merupakan satu aspek gangguan di dalam komunikasi di antara pelajar dan guru berikutan penggunaan Bahasa Melayu rasmi yang belum digunakan secara meluas.

See also  Porous Campus Model: Bridging industry and academic innovation

Masalah kelemahan penggunaan Bahasa Melayu dikalangan pelajar menyebabkan pencapaian mereka dalam bidang akademik terganggu. Ini adalah lantaran pelajar-pelajar tidak memahami atau menguasai Bahasa Melayu rasmi yang diguna pakai di dalam sistem pendidikan Malaysia dan seterusnya mencatat prestasi rendah di dalam peperiksaan awam.

Kehadiran guru-guru dari Semenanjung Malaysia sebenarnya telah banyak membantu memecahkan dominasi bahasa tempatan dan membantu pelajar menguasaï Bahasa Melayu secara tidak langsung.

Setelah beberapa dekad pendekatan ini digunakan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar di Sabah masih belum memberangsangkan.

Persoalannya, apakah akan berlaku jika guru dari Sabah mendominasi sistem pendidikan di negeri ini?

Kemungkinan besar, perkembangan Bahasa Melayu akan terbantut dan akan wujud kecenderungan penggunaan bahasa ibunda di dalam pengajaran di sekolah.  Jika ini berlaku di Sabah polarisasi suku kaum dan bangsa akan menjadi lebih ketara.

See also  Commercialising university innovation with the spinout business

Guru-guru dari Semenanjung  Malaysia datang ke Sabah dengan membawa pengalaman hidup dan budaya yang sangat berbeza. Kehadiran mereka sedikit sebanyak telah membantu transformasi pelajar-pelajar di Sabah untuk keluar dari kepompong mereka.

Di samping itu, pelajar-pelajar di Sabah dapat mengenali budaya Malaysia yang lebih berdiversiti dan ini akan dapat membuka minda mereka. Pembangunan intelektual pelajar juga dapat ditingkatkan di samping menggarap aspek pemikiran kritis melalui pertembungan budaya.

Justeru itu, cadangan untuk rakyat Sabah dijadikan sebagai guru di Sabah boleh diambil ringan tanpa memikirkan implikasinya.  Pihak yang berkenaan haruslah mempertimbangkan hal ini demi masa depan anak-anak bangsa Malaysia dan rakyat Sabah khususnya.

Mohd Adlan Mohd Shariffuddin