Abas: Guna kasih sayang dan agama untuk hindari gejala sosial

Abas: Guna kasih sayang dan agama untuk hindari gejala sosial

Golongan ibu bapa diingatkan agar sentiasa memupuk perasaan kasih sayang serta menerapkan ajaran dan nilai-nilai budaya berunsur agama kepada anak-anak mereka untuk membendung gejala sosial yang negatif.

Golongan ibu bapa diingatkan agar sentiasa memupuk perasaan kasih sayang serta menerapkan ajaran dan nilai-nilai budaya berunsur agama kepada anak-anak mereka untuk membendung gejala sosial yang negatif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Syed Abas Syed Ali berkata bahawa penerapan nilai-nilai kasih sayang serta ajaran agama akan mampu membantu membendung golongan remaja dan belia daripada terjebak dengan aktiviti kurang yang kurang sihat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Tawau di sini kelmarin.

Abas juga menyatakan bahawa peranan ibu bapa dan masyarakat adalah amat penting bagi membantu kerajaan di dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti dadah yang sering dikaitkan dengan golongan muda.

“Anak-anak merupakan aset penting negara dan mereka perlu diberikan kasih sayang sepenuhnya dengan memberikan mereka pendidikan agama di samping akademik,” ujar Abas

“Selaku pemimpin masyarakat, kita juga perlu membantu kerajaan membanteras gejala dadah ini dan pada masa yang sama juga tidak sepatutnya meminggirkan mereka yang sudah kembali ke jalan yang benar,” katanya lagi sambil menekankan pentingnya bagi masyarakat agar tidak meminggirkan golongan belia dan remaja yang pernah terjebak dengan dadah, sebaliknya menerima mereka dengan hati terbuka agar dapat menginsafkan mereka.

Beliau turut menyarankan agar kerjasama yang padu ditingkatkan di antara jabatan-jabatan berkaitan di dalam menjaga keselamatan negara, negeri dan kampung.

“Selaku masyarakat dan ibu bapa, kita juga tidak seharusnya menuding jari kepada sesiapa sebaliknya kita hendaklah insaf dan bekerjasama membanteras pelbagai kegiatan jenayah di sekeliling kita,” kata Abas yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO Tawau.

Pemimpin masyarakat juga perlu memainkan peranan dan memberikan kerjasama kepada jabatan-jabatan berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat seperti masalah kad pengenalan, gejala sosial, penyalahangunaan dadah, isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelbagai masalah lain.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Mohd Aziz Marinsah, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kasim, Wakil Polis Diraja Malaysia Daerah Tawau ASP Muzapar Bin Mahadi, Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah Ismail Ahmad, Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Abdul Aziz Abdul Karim, Penolong Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan Malai Fazlan Malai Mustapha, Penolong Pengarah Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan Roy Nazwln Adillah Nabil, Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Emmy Liew, Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Amrih Siatoh serta pegawai-pegawai agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Gary Louis Supi