Sebuah objek yang tidak dikenali, terbang dengan mengeluarkan warna seakan-akan api muncul secara tiba-tiba sekitar jam 12.15 awal pagi semalam di kawasan pangsapuri Beverly Hills, Jalan Bundusan, Kota Kinabalu.
Wartawan Komunitikini menyedari kehadiran objek tersebut kerana warnanya yang terang, bersaiz besar dan kedudukanya yang tidak tinggi daripada mukabumi. Walau bagaimanapun kehadirannya tidak mengeluarkan sebarang bunyi bising.
Objek tersebut muncul daripada arah tenggara dan kelihatan bergerak secara perlahan-lahan seolah-olah sedang dikawal oleh sesuatu. Objek tersebut bergerak melintasi hadapan bangunan pangsapuri.
Kehadiran objek sebegitu di langit adalah amat pelik keranan ia jarang sekali berlaku. Pada bulan Oktober 2003, dilaporkan bahawa penduduk di Papar dikatakan telah melihat objek yang kelihatan agak sama.
Kemunculan objek di Penampang ini dianggar berkedudukan lebih tinggi daripada bangunan Yayasan Sabah. Ia terbang dalam masa tiga hingga lima minit sebelum mengubah haluan secara tiba-tiba dan dengan sekelip mata terbang dengan lebih pantas. Ia kelihatan seolah-olah menjunam ke bawah sebelum hilang dari pandangan kerana halangan oleh beberapa bangunan pangsapuri.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini berlaku,” kata Agnes salah seorang penghuni pangsapuri tersebut yang turut menyaksikan kehadiran objek yang pelik itu.
Agnes juga menyatakan bahawa pada mulanya beliau menyangka ia adalah bunga api tetapi setelah melihat cara pergerakkan objek tersebut, beliau pasti ia bukan mercun. Lebih pelik lagi ialah ia tidak mengeluarkan apa-apa bunyi.
Kemunculan objek ini menimbulkan tanda tanya kepada penduduk Penampang, samada ia adalah bunga api, ataupun ‘Tang Lung’ yang dibakar dan dilepaskan ke angkasa oleh orang Cina ketika menyambut Tahun Baru Cina. Persoalan samada objek mungkin ini mungkin helikopter atau kapal terbang yang dilihat dari jauh juga tidak boleh dinafikan.
Walaubagaimanapun, ketiadaan sebarang bunyi daripada objek ini semasa ia bergerak dan cara ia bergerak juga menimbulkan banyak persoalan.
Ura-ura kehadiran ‘Unidentified Flying Object” atau lebih dikenali sebagai ‘UFO’ di Kota Kinabalu semakin meningkat di sepanjang tempoh 10 tahun ini. Desas-desus ini bermula dengan kehadiran ‘The Flying Coffin’ pada tahun 2001, ‘UFO’ yang dikatakan keluar dari laut di pantai Tanjung Aru, UFO di Tanjung Lipat, UFO di Kolombong pada 2008, UFO di Tuaran pada tahun lepas.
Malahan ada juga penduduk disekitar kawasan Kota Kinabalu yang mendakwa pernah diculik oleh makhluk asing. Wartawan Komunitikini sendiri mengakui telah menyaksikan kehadiran objek sebegini sebanyak lima kali sepanjang 10 tahun ini.
Keterangan;
Gambar di atas ini bukanlah objek UFO sebenar yang dilihat wartawan, tetapi ia diambil oleh individu tertentu yang menyiarkannya di internet dan ianya hampir menyerupai seperti apa yang dilihat wartawan.