Ops Sikap: Kadar kematian penunggang motosikal merisaukan

Ops Sikap: Kadar kematian penunggang motosikal merisaukan

Seratus nyawa hilang dalam 12 hari. Itulah bilangan pengguna motosikal yang terkorban semasa Ops Sikap ke-23 sejak 27 Jan lepas. Angka itu mengatasi kematian pemandu kenderaan lain iaitu 61 orang dalam 1,250 kemalangan bagi tempoh yang sama.

Seratus nyawa hilang dalam 12 hari.

Itulah bilangan pengguna motosikal yang terkorban semasa Ops Sikap ke-23 sejak 27 Jan lepas.

Angka itu mengatasi kematian pemandu kenderaan lain iaitu 61 orang dalam 1,250 kemalangan bagi tempoh yang sama.

Ops Sikap tahun lepas menyaksikan seramai 147 pengguna motosikal maut  daripada 223 orang yang terkorban.

Ops Sikap bertujuan menyedarkan pemandu dan penunggang supaya lebih berhati-hati semasa menggunakan jalan raya terutama sewaktu menyambut perayaan kerana dalam tempoh itu terdapat pertambahan bilangan kenderaan untuk perjalanan jauh.

Kebanyakan mangsa korban kemalangan motosikal itu membabitkan golongan muda, yang sepatutnya menjadi pewaris negara.

Timbul persoalan apakah yang menyebabkan pengguna motosikal mudah dilanda kemalangan? Apakah sukar bagi mereka untuk mematuhi peraturan jalan raya terutamanya mematuhi lampu isyarat dan had laju yang ditetapkan?

Data Polis Diraja Malaysia menunjukkan kebanyakan kemalangan maut pada 2009 melibatkan penunggang motosikal berusia 11 hingga 25 tahun.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata perkhidmatan awam di luar bandar yang tidak menyeluruh merupakan antara punca menggunakan motosikal pulang bercuti ke kampung halaman masing-masing.

“Jadi cara yang paling mudah, mereka menunggang motosikal walaupun mereka tahu risiko yang terpaksa dihadapi terutama untuk perjalanan jauh,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Keadaan ini, katanya  menyebabkan kadar kematian melibatkan pengguna motosikal meningkat setiap tahun.

“Ini amat membimbangkan,” kata Ahmad Farhan.

Mengenakan pakaian yang tidak sesuai di waktu malam juga merupakan faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan membabitkan pengguna motosikal.

“Pengguna motosikal perlu memakai pakaian yang cerah pada waktu malam bagi mengurangkan risiko pemandu lain tidak nampak mereka,” katanya.

Ahmad Farhan berkata penyenggaraan motosikal terutama tayar juga amat penting dalam memastikan motosikal selamat untuk ditunggang.

Faktor jalan yang berlubang turut menjadi punca kemalangan membabitkan  motosikal.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Suret Singh berkata laluan khas pengguna motosikal seperti yang terdapat di jalan persekutuan antara Kuala Lumpur dan Klang perlu diperluaskan ke seluruh negara.

Lorong khas itu dapat mengasingkan pengguna motosikal daripada kenderaan dan ini akan mengurangkan risiko kemalangan, katanya.

“Semua pihak perlu memandang serius kemalangan membabitkan pengguna motosikal,” katanya.

Tahun lepas, hanya satu kematian dicatatkan di laluan khas pengguna motosikal iaitu dari Kuala Lumpur ke Klang itu.

-Bernama