Majlis Perbandaran Klang (MPK) mempelawa orang ramai berminat sekitar daerah itu menyertai pertandingan Band Idol bagi mencungkil bakat terpendam dalam bidang seni suara.
Pengarah Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata pertandingan yang telah diadakan sejak 2001 lalu diadakan sempena pembukaan program Kebudayaan dan Konsert Mesra bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dilancarkan pada bulan ini.
“Program itu akan berlangsung pada Sabtu minggu ke 4 setiap bulan kecuali bulan Ramadan bermula dari jam 5 petang di mana lokasi pertandingan diadakan di sekitar kawasan menjadi tumpuan masyarakat setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tujuan pertandingan itu diadakan untuk mempamerkan aktiviti kebudayaan dan kesenian tradisional pelbagai bangsa sebagai salah satu program mempromosikan pelancongan sempena Selangor Shine 2011.
Dalam pertandingan Band Idol yang diadakan baru-baru ini, menurutnya kumpulan kugiran De’ Project dari Banting telah muncul sebagai johan peringkat saringan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta sijil.
“Manakala naib johan pula dimenangi oleh peserta dari Kampung Delek, kumpulan Full Blast membawa pulang RM200 beserta sijil manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Marshmallow dari Sri Andalas membawa pulang RM100 beserta sijil,” ujarnya.
Norfaiza berkata, bagaimanapun penyertaan tersebut terhad kepada lima kumpulan kugiran secara bulanan untuk pemilihan ke peringkat akhir.
“Pemenang utama berpeluang memasuki peringkat akhir Pertandingan Band Idol yang dijangka berlangsung Disember ini.
“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyertai program ini bolehlah menghubungi Roshayati Abdul Rahim di talian 03-33716044 samb 1234/1015, 019-2207671, faks 03-33720875 atau [email protected],” jelasnya.