Hari Wilayah: Nasib Labuan selepas 27 tahun

Hari Wilayah: Nasib Labuan selepas 27 tahun

Selepas 27 tahun Pulau Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, banyak pembangunan yang telah dikecapi. Walaubagaimanapun apakah makna sebenar pembangunan ini kepada penduduk tempatan.

Hari ini, genaplah usia 27 tahun Pulau Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Banyak perubahan yang berlaku di pulau yang berstatus bebas cukai ini sepanjang tempoh 27 tahun ini.

Labuan kini memegang status sebagai salah satu pusat kewangan perdagangan antarabangsa dan juga sebagai hub minyak dan gas di kepulauan ini.

Pembangunan telah banyak dilaksanakan oleh kerajaan sepanjang tempoh ini, antaranya pembangunan sekolah dan universiti, penaiktarafan lapangan terbang dan terminal feri, peningkatan kualiti jalan-jalan kampung, pembinaan kemudahan awam seperti pasar, stesen bas dan teksi serta penambahbaikan beberapa infastruktur yang sedia ada seperti penambahan saluran paip dasar laut untuk meningkatkan bekalan air bersih ke pulau ini serta pemasangan lampu-lampu jalan di jalan-jalan utama sekeliling pulau.

Peningkatan infastruktur  yang terbaru ialah naik taraf lapangan terbang yang menelan kos RM342 juta serta naik taraf terminal feri kenderaan sebanyak RM5.8 juta yang bakal digunakan pertengahan Februari ini. Melalui kemudahan-kemudahan ini diharapkan jumlah kemasukan pelancong ke pulau ini akan  meningkat.

Boleh dikatakan bahawa kemajuan yang dikecapi oleh Pulau Labuan dalam tempoh masa yang singkat adalah kerana pemerintahan terus kerajaan pusat.

See also  Exclusive waterfront living at Lightwater Residences

Disebalik kemanisan dikecapi melalui pembangunan yang drastik, ada juga kepahitan yang perlu ditelan oleh anak watan Labuan sendiri.

Anak tempatan acap kali melahirkan rasa kecewa atas peluang pekerjaan yang direbut oleh orang Semenanjung. Hampir kesemua jawatan tinggi di dalam sektor kewangan antarabangsa dan sektor minyak dan gas dipegang oleh pegawai-pegawai dari Semenanjung Malaysia. Anak watan Labuan pula terpaksa menjawat jawatan bawahan, itupun sekiranya mereka bertuah.

Masalah tempatan seperti, kenaikan harga barangan tanpa kawalah, kualiti air rendah, ketidak stabilan penjanaan elektrik serta keadaan jalan raya menjadi topik bualan setiap hari dikalangan masyarakat Labuan.

Peningkatan harga barangan keperluan harian di Labuan sememangnya tiada penghujung. Alasan yang biasa digunakan adalah permintaan kurang dan kos pengangkutan samada dari Sabah atau pelabuhan lain yang kian meningkat.

Status bebas cukai pula hanya diberikan kepada barangan bukan belian harian seperti kenderaan, tayar, minum keras, rokok dan cokelat.

Suatu ketika dahulu dalam era 70an dan 80an Labuan amat terkenal sebagai pusat membeli belah di kawasan ini dengan jualan barangan elektrik, kain-kain, dan beberapa barangan lain hingga menjadi tarikan utama pelancong dari Brunei dan Sabah untuk berkunjung.

See also  Discover exclusive luxury at ViO Banj’ran in Seremban 2

Kini keadaan telah berubah dimana penduduk Labuan akan berpusu-pusu untuk keluar dari pulau ini setiap waktu cuti samada ke Sabah atau Semenanjung Malaysia semata-matauntuk membeli-belah.

Anak-anak muda Labuan telah mula berhijrah keluar dari pulau ini untuk mencari pendapatan dan kehidupan yang lebih baik dari sini. Jika perkara ini berterusan pulau Labuan yang kini mempunyai penduduk 80,000 orang akan semakin mengecil dan Labuan bakal menjadi pulau tinggal setelah habis aktiviti minyak dan gas digali.

Selepas 27 tahun, nasib Pulau Labuan tersepit di antara perindustrian lain yang tidak dibangunkan secara sempurna dan kegiatan kewangan bertaraf antarabangsa yang tidak memberi faedah kepada penduduk tempatan.

Sudah sampai masanya untuk kerajaan pusat untuk merangka rancangan jangka panjang yang lebih praktikal untuk memperbetulkan and menguatkan kedudukan Labuan sama seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum penduduk tempatan putus harapan dan menggangap Pulau Labuan sebagai ‘pulau tinggal’.

Ridzuan