Kekerapan kejadian kes-kes rompakan terhadap kapal serta sampan menangkap ikan sejak sekian lamanya di perairan Kudat, dan yang terbaru pada bulan lepas, telah mengundang rasa tidak puas hati dikalangan para pengusaha maupun pemilik kapal dan sampan terhadap tahap keselamatan di perairan tersebut.
Terdapat lebih daripada 500 buah kapal dan sampan beroperasi di perairan ini setiap hari siang dan malam, dan rata-rata mereka mengakui sentiasa berkeadaan cemas memikirkan akan kemungkinan berlakunya rompakan oleh lanun tidak berhati perut yang boleh membawa kemudaratan seperti kecederaan parah dan kehilangan nyawa, apabila berada di laut menangkap ikan.
Setelah lama memendam perasaan, akhirnya kerunsingan ini diadukan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah untuk diketengahkan kepada pihak berwajib.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr.Hiew King Cheu yang mendengar aduan-aduan tersebut menyatakan bahawa mereka secara amnya tidak gembira dengan langkah-langkah keselamatan yang dijalankan oleh kerajaan.
Katanya, “Mereka tidak gembira dengan langkah-langkah keselamatan yang dijalankan oleh kerajaan didalam melindungi mereka daripada bahaya rampasan dan rompakan oleh lanun-lanun asing. Selain daripada kehilangan harta benda, nyawa mereka turut terancam.”
Menurut Hiew lagi bahawa Industri perikanan di Kudat merupakan suatu industri penting yang mana kebanyakkan penduduk di daerah ini bergantung kepada hasil tangkapan untuk kegunaan sendiri maupun untuk diekspot.
Namun, dengan kegiatan lanun yang semakin berleluasa di perairan ini, kegiatan industri perikanan semakin terjejas kerana penduduk semakin bimbangkan keselamatan mereka jika turun ke laut.
Mengenai kejadian rampasan bot yang berlaku bulan lepas, beliau mengulas bahawa bot itu masih belum dikembalikan sehingga kini.
“Nasib baik tidak ada nyawa yang terkorban. Adalah dipercayai bahawa perompak-perompak tersebut meminta sejumlah wang tebusan sebelum bot itu dikembalikan,” katanya sambil menambah bahawa kejadian seumpama itu juga kerap kali berlaku sebelum ini.
Sebagai memenuhi aduan penduduk yang inginkan perairan Kudat yang aman, beliau meminta pihak berkuasa seperti Polis Marin dan Tentera Laut agar meningkatkan kawalan mereka di perairan tersebut bagi memastikan persekitaran lebih selamat kepada penangkap-penangkap ikan yang kebiasaannya berada di laut selama 24 jam setiap kali turun mencari rezeki.
“ Jaminan keselamatan harus diberikan agar mereka beroleh ketenangan semasa menangkap ikan tanpa sebarang kebimbangan akan ancaman lanun dan perompak.” Tambah beliau yang hadir bersama pemimpin-pemimpin DAP Sabah di jeti kapal di Kudat baru-baru ini.
Namun, oleh kerana keluasan laut di utara Kudat yang menjadikan perairan tersebut agak sukar dikawal, dia turut mencadangkan agar pesawat ringan serta sistem radar digunakan bagi memantau dan memeriksa bot-bot mencurigakan yang masuk keperairan tersebut.
Beliau berkata, “Teknologi terkini yang menggunakan sistem satelit GPS juga telah terbukti keberkesananya. Peningkatan kawalan oleh polis, kastam dan tentera laut akan membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan barang, orang, dadah malahan senjata api ke Sabah. Dengan itu, kita ingin peningkatan tahap keselamatan dilaksanakan di perairan Kudat.”
Perairan Kudat merupakan kawasan yang kaya dengan sumber hidupan laut yang menjadi salah satu punca utama rezeki penduduk disana.
Dengan demikian, persekitaran yang kondusif adalah penting bagi memastikan keberlangsungan aktiviti mata pencarian penduduk di Kudat.
Oleh itu, permintaan untuk meningkatkan kawalan di perairan tersebut adalah sesuatu yang logik dan seharusnya diberi perhatian serius pihak berwajib demi kesejahteraan dan keselamatan.