Seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas pesawat jet BAe Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas kira-kira pukul 10.07 malam Selasa.
TUDM memaklumkan bahawa kedua-dua juruterbang berkenaan sedang melaksanakan latihan penerbangan malam (Night Flying) di Pangkalan Udara Butterworth, Penang sebelum terbabit nahas.
Menurut saksi yang berhampiran, terdengar dua bunyi letupan yang kuat diikuti api yang marak selepas pesawat terhempas.
Markas TUDM telah mengesahkan identiti 2 juruterbang pesawat yang terhempas itu sebagai Mejar Mohd Fareez Omar dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy.
Mejar Mohd Fareez Omar telah megalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya. Beliau dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.
Manakala rakannya Kapten Mohamad Affendi telah disahkan terkorban. Kapten Mohamad Affendi merupakan penerima Anugerah Green Endorsement TUDM.
Anugerah itu telah disampaikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad di Subang Jaya pada minggu lalu menerusi anugerah inovasi TUDM.
Kapten Mohamad Affendi telah diberikan pengikhtirafan tersebut atas kejayaannya membolehkan pesawat berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.
Pihak TUDM telah memaklumkam kepada ahli keluarga kedua-dua juruterbang tersebut dan akan mengutamakan segala urusan kebajikan keluarga mangsa.
Kapten Mohamad Affendi merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Dia dan isterinya dilaporkan menetap di Labuan.
Ketika kejadian, Mohamad Affendi telah ke Pulau Pinang untuk latihan manakala isterinya berada di Kelantan untuk bercuti.
Jenazahnya tiba di Jabatan Forensik pada jam kira-kira 2 pagi untuk urusan bedah siasat. Ia akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Muadzam, Pahang untuk dikebumikan pada hari ini.
Kementerian Pertahanan telah mengarahkan TUDM untuk menubuhkan Lembaga Siasatan Terperinci susulan insiden berkenaan.
9 insiden yang membabitkan pesawat pejuang Hawk milik TUDM, dilaporkan terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.
Kali terakhir pesawat pejuang dua tempat duduk jenis Hawk 108 dilaporkan terhempas pada 15 Jun 2017, di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
Dua juruterbang yang bernama Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, disahkan terkorban dalam kejadian itu.