Kerajaan Selangor bimbang dengan arahan menutup kilang pengeluar sarung tangan di Ijok, Hartalega Sdn Bhd, yang dibuat secara sewenang-wenangnya akan menakutkan pelabur dan menyebabkan 800 pekerja tempatan hilang pekerjaan.
Adalah merugikan rakyat Selangor dan negara khasnya jika arahan itu dibuat tanpa siasatan lanjut tetapi hanya untuk menjaga kepentingan politik dan memenuhi agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu.
Ini bertentangan dengan dasar kerajaan Selangor yang mahu menarik pelaburan asing dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor serta dari negeri lain.
Kerajaan Selangor khuatir tindakan tanpa usul periksa ini menyebabkan pelabur membatalkan rancangan melabur di Kuala Selangor. Ini termasuklah pelaburan usaha sama syarikat Jepun dan Guthrie melibatkan pelaburan melebihi RM2 billion.
Adalah amat tidak wajar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk T Murugiah mengarahkan Hartalega menghentikan operasi hanya kerana aduan beberapa orang penduduk berhampiran kilang yang mendakwa kesihatan terganggu kerana pencemaran oleh kilang berkenaan.
Hartalega telah beroperasi sejak 1996 dan tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan operasi kilang itu menyebabkan penduduk mengalami masalah malah tiada seorang pun pekerja kilang itu yang mengalami masalah kesihatan walaupun setiap hari terdedah bahan kimia.
T Murugiah sebenarnya tiada kuasa mengarahkan Hartalega ditutup kerana kilang berkenaan memenuhi semua piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa. Hanya Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mempunyai kuasa mengarahkan hilang itu ditutup.
Walaubagaimanapun, hasil pemeriksaan berkala yang dilakukan terhadap Hartalega mendapati kilang itu tidak melanggar peraturan. Sehubungan itu, tiada alasan untuk MDKS menutup operasi kilang berkenaan.
T Murugiah tersilap fakta dan mendapat maklumat yang silap kerana tidak merujuk kepada pihak berkuasa sebelum membuat arahan itu.
MDKS telah diarah melakukan pemeriksaan berkala ke Hartalega selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melawat kilang itu pada Oktober lalu. Pemeriksaan oleh MDKS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mendapati sebarang kesalahan yang dilakukan Hartalega seperti didakwa penduduk.
MDKS akan terus mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk meningkatkan sistem perparitan yang didakwa menyebabkan banjir. JAS juga akan meningkatkan pemeriksaan dan kawalan bagi memastikan Hartalega tidak mencemar alam sekitar.