Youtuber Aqil Zulkiflee tuntut pampasan RM1 juta

YouTuber Aqil Zulkiflee menuntut permohonan maaf dan pampasan RM1 juta terhadap seorang wanita yang didakwa telah memfitnahnya melalui platform media sosial.

Pada 24 Disember tahun lalu, seorang wanita dengan nama pengguna Auntie Soleha telah memuatnaik satu penyiaran yang didakwa berbaur fitnah melalui aplikasi Facebook.

Wanita yang dikenali dengan nama Siti Solehah Mohamed Ali itu telah menulis bahawa Aqil merupakan seorang yang sombong, berlagak, tidak hormat kepada peminat dan tidak suka kepada kanak-kanak.

Kenyataan dari wanita itu yang merupakan jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah Aqil telah dikongsi sebanyak 170 kali dan menerima lebih dari 529 reaksi dari netizen setakat ini.

Kenyataan tersebut menyusuli kemenangan Aqil di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-34 dalam kategori YouTuber Popular pada bulan November lalu.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili Aqil Zulkilfee telah menegaskan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah dan palsu.

“Anak guam telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat berikutan komen-komen yang tidak benar yang telah menjatuhkan reputasi dan mencalar kredibiliti beliau,” kata Nurul Hafidzah.

Jurucakap Aqil Zukiflee Saiful Ridzuan dari firma Saiful Ridzuan Public Relations And Communications berkata notis tuntutan telah dihantar pada minggu ini.

“Aqil Zulkiflee mengambil tindakan undang-undang tersebut bagi melindungi jenama peribadi, imej dan reputasi beliau,” kata Saiful Ridzuan.

Tindakan undang-undang itu diambil Aqil kerana kenyataan tersebut telah menyebabkannya mengalami tekanan emosi, malu dan kesedihan.

Jika tiada bayaran gantirugi dan permohonan maaf dibuat dalam masa tujuh hari, Aqil akan terus memfailkan tuntutan di mahkamah.

Avatar photo

Admin

CJ Editor writes, edits and publishes stories and press releases. Please contact for any queries or press release submissions.