Kira-kira 1,000 penduduk sekitar kawasan perumahan menghadiri majlis sempena ulang tahun ke 16 Rukun Tetangga (RT) Seksyen 3 Petaling Jaya baru-baru ini.
Pengerusinya, Shamsuddin Hassan berkata majlis rumah terbuka itu diadakan pada sebelah pagi dan malam dikendalikan seramai 20 orang ahli jawatankuasa kumpulan tersebut .
Menurutnya, majlis itu dihadiri wakil rakyat dan pemimpin daripada pelbagai peringkat serta masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan peringkat usia turut sama meraikan ulang tahun penubuhannya.
“Sejak kumpulan RT itu ditubuhkan ia telah melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya program melibatkan kemasyarakatan,” katanya ditemui Komunitikini.
Mengulas lanjut khidmat masyarakat disediakan RT itu, Shamsuddin berkata, pihaknya menyediakan kabin beroperasi setiap hari bermula Isnin hingga Sabtu bermula 10 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan masyarakat setempat mendapatkan maklumat serta pandangan berkaitan masalah dihadapi.
Menurutnya, majoriti penduduk di kawasan perumahan ini sebanyak 60 peratus berbangsa Melayu manakala 30 peratus Cina dan selebihnya India dengan anggaran sebanyak 425 buah kediaman.
“Malah, kumpulan ini turut mengadakan majlis sempena sambutan hari raya Aidiladha di mana kami menerima sumbangan sebanyak 15 ekor lembu,” ujarnya.