Pengusaha dan pemilik restoran Petaling Jaya dikehendaki mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan dengan memastikan setiap premis dipantau sepenuhnya daripada aspek kualiti dan penyediaan makanan untuk keselesaan orang ramai.
Susulan itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama lebih kurang 40 anggota penguatkuasanya melakukan serbuan ke atas premis makanan dan restoran di sekitar Taman Maju Jaya.
Sebanyak empat kompaun dan tiga notis di kenakan terhadap empat premis makanan yang dikesan tidak mematuhi syarat menjalan operasi tersebut semasa pemeriksaan mengejut oleh kakitangan penguatkuasaan itu.
Premis yang dikenakan tindakan didapati melakukan kesalahan membuang sisa makanan ke dalam longkang sehingga menyebabkan longkang tersumbat apabila sisa tersebut menjadi beku tanpa pembersihan atas dasar tanggungjawab dilakukan oleh pemiliknya.
Kesalahan juga dikesan berkenaan saluran corong asap tidak mematuhi syarat, palang longkang diubahsuai sehingga menyukarkan pihak berkuasa dan beberapa syarat lagi yang tidak dipatuhi dalam menjalan operasi dikenalpasti.
Pengarah Aduan Awam MBPJ, Tengku Nazaruddin Tengku Zainudin berkata dalam operasi tersebut, sisa makanan dan minyak yang dibuang kedalam longkang utama premis menyebabkan beberapa saluran longkang tersebut tersumbat akibat sisa membeku menghalang laluan air.
Menurutnya, dalam operasi pembersihan longkang dikawasan yang sama sebelum ini mendapati longkang tersumbat akibat sisa buangan menjadi beku selain sampah pepejal dibuang ke dalam longkang tersebut.
Dalam operasi hari ini, katanya, tindakan tegas dikenakan terhadap pemilik premis kerana pihak penguatkuasa mendapati sikap mereka adalah salah satu sebab utama longkang menjadi tersumbat yang dibimbangi menyebabkan banjir memandangkan sekarang musim hujan.
“ Kesalahan yang dilakukan adalah dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (berkenaan pencemaran) dan Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisyment Makanan (MBPJ) 2007 dimana tindakan boleh diambil sehingga tahap mengarahkan pemutupan operasi premis selama dua minggu.
“Antara jabatan yang terlibat adalah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasa dan Aduan, Jabatan Kawal Selia dan Jabatan Alam Flora,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan serta pemantauan akan terus dilakukan dalam tempoh notis yang diberikan dan sekiranya mereka gagal mematuhi syarat, pembatalan lesen atau permohonan lesen untuk peringkat selanjutnya akan dibatalkan serta merta.
Sementara itu, Penolong Aduan Awam, Zey Iskandar berkata bagi merealisasikan hasrat Datuk Bandar,Mohamad Roslan Sakiman menjadikan Petaling Jaya bandaraya bersih, pihaknya tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pengusaha premis didapati mengabaikan aspek kebersihan.
Menurutnya, sekiranya pengusaha restoran didapati ingkar, anggota penguatkuasaan majlis daerah itu akan mengambil tindakan keras termasuk mengenakan prosedur pembatalan lesen.
Malah, beliau berharap tindakan kompaun yang dikenakan sebagai pengajaran kepada pengusaha premis makanan lain agar memastikan tahap kebersihan dan keselamatan menjadi aspek utama pengusaha menjalankan aktiviti perniagaan makanan serta tidak memandang remeh mengenai isu tersebut.
“ Kami berharap jumlah kompaun yang dikenakan antara RM250 hingga RM500 itu dapat mendidik pengusaha premis makanan supaya mengamalkan peraturan yang diharapkan pihak berkuasa.
“ Sehingga kini, sebanyak 2,418 premis makan di kawasan bandaraya ini adalah baik dan selamat untuk dikunjungi orang ramai di mana anggotanya akan sentiasa mengadakan pemeriksaan berkala di setiap premis bagi memantau tahap kebersihan di sekitar Petaling Jaya agar tiada lagi premis yang melanggar peraturan operasi,” katanya.