Penduduk sekitar bandaraya ini diminta tidak terkejut atau cemas sekiranya terdengar bunyi tembakan berikutan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan Kempen Tembak Gagak 2010, bermula hari ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata kempen yang merupakan acara tahunan agensi penguatkuasaan itu merupakan kesinambungan kempen terdahulu yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan majlis daerah tempatan sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, kempen tembak gagak itu merupakan salah satu kaedah kawalan dan pemusnahan burung gagak diperkenalkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak empat tahun lalu.
“Kempen ini berjaya mencatat jumlah pengurangan burung gagak daerah Petaling Jaya bermula tahun 2007 sebanyak 4043 diikuti tahun 2008 sebanyak 3647 manakala tahun 2009 pula menyaksikan sebanyak 3041 ekor burung gagak berjaya ditembak.
“Jelas menunjukkan populasi burung itu semakin berkurangan pada setiap tahun ianya dijalankan sekali gus membuktikan bahawa kempen tersebut berjaya mencapai objektifnya,” katanya di majlis perasmian kempen tembak gagak di Petaling Jaya, hari ini.
Komunitikini difahamkan, kempen menembak gagak bermula 13 November sehingga 21 November itu berlangsung pada jam 6.30 pagi dan berakhir 7 malam.
Roslan berkata, seramai 52 orang penembak berlesen telah mendaftar diri untuk menyertai operasi itu.
Menurutnya, mereka yang mengambil bahagian merupakan peserta memiliki lesen senjata api yang sah dan diperakui oleh pihak polis.
“Penembak-penembak akan bergerak dalam kumpulan dan dibahagikan kepada 19 kawasan sekitar Petaling Jaya yang telah dikenalpasti, mereka akan dibayar RM4 untuk setiap gagak yang ditembak mati.
“Kawasan itu merangkumi PJS1, PJS3, PJS5, Seksyen 18, Seksyen 10, Seksyen 17, SS2, SS24, SS25, PJU1A, Kampung Sungai Kayu Ara, Bandar Utama, Bandar Sri Damansara dan PJU10,” katanya.
Mengulas lanjut masalah dihadapi agensi penguatkuasaan itu, Roslan berkata, populasi gagak yang bertambah setiap tahun memberi kesan dan masalah kepada penduduk sekitar di samping seringkali menerima aduan dari penduduk berkaitan ancaman burung tersebut.
Menurutnya, antara aduan diterima seperti sampah berselerak, bungkusan sampah sarap yang diletakkan penduduk sebelum dikutip rosak.
“ Selain itu, burung itu dikesan mengotorkan persekitaran tempat pengumpulan sampah terbuka seperti kawasan pasar lambak dan pasar malam serta mengancam dan mengganggu pengunjung di tempat awam seperti padang permainan ataupun taman rekreasi,” ujarnya.