Mangsa bakar diri, dua laporan polis dibuat

Mangsa bakar diri, dua laporan polis dibuat

Adik mangsa berkata keluarganya membuat laporan polis berikutan ada individu naik ke atas bumbung disyaki cuba menggugut abangnya sebelum mangsa membakar diri.

Dua laporan polis dibuat masing-masing oleh keluarga mangsa dan wakil pihak persatuan kuil berhubung kejadian membakar diri M Chakragunasegaran, 52 di kuil Sri Srinivasa Perumal di Pusat Bandar Puchong, Selangor, semalam.

Laporan polis terbaru adalah daripada keluarga mangsa yang dibuat pada jam 10.30 pagi tadi manakala wakil persatuan kuil pula membuat laporannya jam 9 malam semalam di Balai Polis Puchong Jaya.

Adik mangsa, M Alejandran, berkata keluarganya membuat laporan polis kerana mendakwa ada seorang individu cuba naik ke atas bumbung dan dikatakan menggugut mangsa.

“Siapa yang tergamak hendak bakar dirinya sendiri, abang saya cuma acah-acah sahaja. Saya diberitahu ada individu turut naik ke atas bumbung mengarahkan abang saya supaya turun sambil mengeluarkan kata-kata ugutan ke atas dirinya.

“Disebabkan ketakutan abang saya terbakar,” katanya ketika dihubungi Komunitikini tengahari tadi.

Dalam laporan polis itu, keluarga mangsa meminta pihak berkuasa menyiasat punca sebenar di sebalik insiden tersebut kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku ke atas mangsa.

Menurut Alejandran abangnya telah dipindahkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi tadi dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Chakragunasegaran mempunyai lima orang anak dan kini menetap di Puchong Perdana berdekatan dengan kuil itu.

See also  Exclusive waterfront living at Lightwater Residences

Sementara itu, seorang lagi saksi berkata dia terlihat anggota polis mengarahkan orang ramai yang berada di sekitar bengkel itu supaya beredar bagi memudahkan tugas mereka mententeramkan keadaan dan memujuk mangsa supaya turun daripada bumbung.

Saksi yang enggan mendedahkan identitinya itu, pula mendakwa individu yang tidak dikenali berkenaan secara tiba-tiba cuba naik ke atas bumbung kemudiannya berlaku pertelingkahan antara kedua-dua mereka selama lebih kurang 10 minit.

Beliau terdengar kata-kata seperti “I cabar you, kalau berani you cuba bakarlah, I naik atas, kalau you tak turun I datang belasah” dilemparkan kepada mangsa dalam bahasa Tamil.

“Mangsa yang tiba-tiba panik ditambah dengan keadaan cuaca panas, pemetik api dinyalakan menyambar botol mineral mengandungi petrol sekali gus mengakibatkan berlakunya kebakaran,” kata saksi itu lagi.

Sementara itu, seorang lagi saksi, K Dharmalingam yang juga setiausaha kuil Sri Srinivasa Perumal mengesahkan wakil persatuan kuil itu membuat laporan polis di balai polis Puchong Jaya kira-kira jam 9 malam semalam.

Laporan polis itu dibuat kerana kejadian berlaku dalam kawasan kuil, katanya.

Ditanya sama ada melihat individu bertindak cuba naik ke atas bumbung pada hari kejadian, dakwanya semua pihak yang ada pada masa itu menyaksikan kejadian tersebut.

See also  Savvy @ Riana Dutamas: Redefining urban living

“Ya, mereka semua kakitangan terdiri daripada ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pihak polis dan Rela,” dakwanya.

Semalam, gara-gara terlalu bimbang kuil Sri Srinivasa Perumal itu akan dirobohkan, Chakragunasegaran bertindak nekad dengan membakar dirinya.

Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pihak polis serta beberapa ahli persatuan kuil yang kebetulan berada di tempat kejadian tetapi kemudiannya pengsan sebelum sempat dikejarkan ke hospital dalam keadaan tenat.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias sebagai berkata mangsa melecur di muka serta beberapa bahagian badannya dan dirawat di Hospital Serdang.

“Kejadian berlaku 9.30 pagi tadi ketika lebih kurang 200 orang kakitangan MPSJ, polis dan Rela terbabit dalam operasi berkenaan, dan lelaki itu (yang) menjerit-jerit jangan roboh, jangan roboh,tiba-tiba membakar dirinya.

“Lelaki itu lalu pengsan dan diselamatkan oleh mereka yang berada ditempat kejadian, dan dikejarkan ke Hospital Serdang,” katanya.

Beliau berkata polis telah membuat satu laporan berhubung kejadian itu di balai polis Puchong dan siasatan masih dijalankan.