Kerajaan Selangor menyampaikan bantuan berjumlah RM2.12 juta kepada 51 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan cek-cek bantuan itu kepada wakil SAR terpilih pada satu majlis penyampaian di Madrasah Darul Mujahidin di Telok Panglima Garang dekat sini semalam.
Bantuan ini merupakan sebahagian daripada RM6 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pendidikan agama Islam di negeri ini.
Dalam ucapan Abdul Khalid berkata anak-anak adalah harta penting bagi kerajaan negeri kerana ia merupakan modal insan untuk pembangunan negeri dan juga negara.
Justeru, adalah penting golongan muda ini dididik dari awal-awal lagi kerana kerajaan negeri merasakan cabaran besar akan dihadapi jika anak-anak ini tidak dididik dengan baik dari awal, katanya.
Katanya sebilangan belia di negara ini terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah dan pembuangan bayi dan tindakan memulihkan mereka ini memerlukan perbelanjaan yang besar.
-Bernama