Empat hari telah berlalu yang menyaksikan bas yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan, namun Mohd Shamsuri Mohd Shafie, 15, masih sukar untuk melupakan pengalaman itu terutama detik-detik hiba apabila melihat sendiri seorang rakannya maut di depan mata.
Dalam kejadian itu, Mohammad Yussof A. Akhit, 16, yang duduk bersebelahan Mohd Shamsuri adalah antara tujuh anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, yang maut selepas bas yang dinaiki bersama 37 rakan lain kemalangan ketika menuruni bukit selepas berkunjung ke Genting Highlands, dipercayai akibat kerosakan brek.
Sebak mengenangkan kejadian malang itu, Mohd Shamsuri kesal kerana tidak dapat membantu Mohammad Yussof walaupun beberapa detik sebelum bas terbalik, mereka berdua telah bersedia untuk menyelamatkan diri.
“Saya sempat kejut (Mohammad) Yussof masa bas mula hoyong hayang tak terkawal dan rakan-rakan yang cemas juga menjerit dan melaungkan ‘Allahuakbar’,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Selayang dekat sini.
Mohd Shamsuri dirawat ekoran mengalami pendarahan paru-paru, patah tulang pinggul serta pendarahan dalam mata.
Menurutnya selepas bas terbalik, perkara pertama yang diingatnya ialah untuk keluar secepat mungkin dari bas bersama-sama dengan rakannya itu.
“Saya bersyukur kerana masih bernafas tetapi sedih bila tengok Yussof yang berlumuran darah tak bergerak, tersepit bawah bas.
“Saya nak tolong (keluarkan Yussof) tapi tak larat,” katanya sambil memamut erat tangan ibunya Suzana Soperi, 39, yang sabar menunggu di samping anaknya sejak kemalangan itu.
Mohd Shamsuri berkata dalam keadaan cedera parah, beliau kemudian merangkak keluar dari badan bas itu melalui serpihan kaca tingkap bas yang pecah, menuju ke tepi jalan raya sambil mengharapkan bantuan segera.
“Yang ada dalam fikiran saya ketika itu cuma mati dan saya hanya mampu berselawat serta mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut mengunjungi lima mangsa kemalangan yang dirawat di hospital itu, merakamkan penghargaan kepada doktor dan kakitangan hospital itu termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana bertungkus lumus menyelamatkan mangsa-mangsa.
“Seperti adik Ahmad Ifwat Abd Halim yang mengalami kecederaan teruk pada tangannya, tetapi Alhamdulilah, berkat usaha doktor, tangannya dapat diselamatkan daripada dipotong,” katanya.
Beliau juga menghargai keprihatinan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor kerana sudi melawat mereka yang dirawat HKL semalam.
“Saya selaku menteri dari negeri Kedah mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan isteri perdana menteri yang sudi meluangkan masa melawat mangsa semalam. Ini menunjukkan beliau amat mengambil berat,” katanya.
Dalam kejadian 7.50 malam itu, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.
Mereka yang terbunuh berusia antara 13 tahun hingga 28 tahun, enam daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu guru agama dan juga ketua rombongan tersebut Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, mati dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
Baki 39 yang lain termasuk pemandu bas cedera.
– Bernama