Gara-gara enggan membayar kos penyelenggaran sejak lima tahun lalu, lebih kurang 400 penghuni apartment Taman Medan Jaya terpaksa meneruskan kehidupan seharian tanpa kemudahan infrastruktur lengkap.
Ia berikutan pemaju dan syarikat kontraktor penyelenggaran bertindak menyekat kemudahan infrastruktur disediakan apabila membenarkan hanya satu daripada dua lif sahaja yang berfungsi.
Ahli jawatankuasa penduduk, Ramli Yahya, 47, berkata penduduk khususnya kanak-kanak sekolah, warga tua dan orang kelainan upaya (OKU) menghadapi kesukaran setiap kali menggunakan perkhidmatan lif pada waktu puncak kerana lif tersebut hanya berhenti di tingkat mempunyai angka ganjil dan bukannya di setiap tingkat.
Menurutnya, penduduk bimbang bila melihat struktur dalam lif itu didapati sudah lama tidak diselenggarakan bakal mengundang bencana kepada mereka satu hari nanti.
“Kita tidak mahu kejadian lif terhempas mengakibatkan sepasang suami isteri dan dua pelajar cedera cedera parah di pangsapuri Baiduri 30 September lalu berulang kembali,” katanya.
Selain masalah kemudahan infrastruktur, jelas Ramli, penduduk mendakwa berlakunya pertindihan dalam surat perjanjian sewa beli (S&P) kerana berdasarkan kandungan dalam surat perjanjian itu mereka dijanjikan untuk mendiami apartmen blok A mempunyai 13 tingkat.
Menurutnya, sebaliknya mereka diarahkan berpindah ke apartmen blok C mempunyai 15 tingkat.
“Sehubungan itu, penduduk meminta kepastian dan status dalam surat perjanjian sewa beli yang diberikan oleh pihak bank dan pemaju . Bila berpindah ke sini baru kami mendapati bahawa blok A sebenarnya tidak wujud.
“Saya yakin berlaku pertindihan di situ dan majoriti penduduk meragui tentangnya dan amat berharap pihak bertanggungjawab menjelaskan kepada kami berkenaan masalah berikut sebelum kami mengambil tindakan,” ujarnya.
Beliau berkata, penduduk mahukan jalan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah dihadapi selama ini dan menggesa pihak berwajib turun padang bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.
Malah, tambahnya, saban hari penduduk menerima tekanan daripada pemaju dan kontraktor mahu bayaran penyelenggaran dijelaskan dengan kadar segera.
“Lebih mengecewakan persatuan penduduk tidak aktif sejak 3 tahun lalu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB).
“Penduduk bukannya tidak mahu untuk membayar kos penyelenggaran tetapi mahu penjelasan terperinci daripada pemaju mengenai status rumah diduduki sama ada mereka dilindungi insurans atau tidak,” tegasnya.
Ramli berkata, sebaliknya pihak kontraktor tersebut bertindak memotong bekalan elektrik lebih 20 buah rumah dan mengunci pintu alat saluran hos pemadam api bagi menyekat penduduk daripada menggunakannya.
Tambah beliau, tindakan dilakukan oleh wakil kontraktor tersebut tidak wajar kerana mereka perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan.
“Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran, sudah pastinya pihak bomba menghadapi kesukaran untuk menggunakan alatan tersebut ,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Mariam Jaafar, 51, berkata penduduk pernah mengadakan perjumpaan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju syarikat perumahan bagi membincangkan masalah ini.
“Malangnya wakil pemaju gagal menghadirkan diri sebanyak empat kali sesi perbincangan dianjurkan penduduk sebelum ini,” jelasnya.
Menurutnya, dengan pendapatan penduduk yang rendah, mengapa pihak tersebut tidak bekerjasama dengan penduduk menyelesaikan masalah secara bersama.
“Beberapa jiran juga turut mengadu pihak tersebut seolah-olah mengugut mereka dengan memotong bekalan elektrik sekiranya tidak membayar tunggakan,” jelasnya.