Sebanyak 88 CPU dan 117 monitor yang digunakan untuk permainan judi internet disita dalam satu operasi bersepadu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, semalam.
Pengarah Penguatkuasa MBPJ, Fauzi Maarof berkata dalam operasi yang melibatkan kira-kira 40 anggota penguatkuasa majlis daerah itu dan 20 anggota AADK Selangor menyerbu beberapa pusat kafe siber di sekitar Petaling Jaya Selatan.
Menurutnya berdasarkan maklumat yang dierima pihaknya berjaya mengesan enam premis didapati menjalankan perniagaan premis tanpa lesen dan menyita barangan komputer tersebut.
“Dalam operasi tersebut, penguatkuasa AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pengunjung premis bagi mengesan sama ada mereka positif dadah atau tidak.
“Setelah beberapa ujian saringan dijalankan, lima lelaki berusia 23 hingga 30 tahun ditahan disyaki positif dadah berdasarkan keputusan ujian saringan air kencing.
“ Mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan ketika tangkapan didapati beberapa daripada mereka sedang leka bermain internet judi,” katanya.
Tambahnya, operasi seperti itu sering dilakukan, namun kegiatan tersebut masih giat dijalankan seolah-olah tiada pihak berkuasa yang memantau.
Fauzi berkata, sehingga 6 Oktober lalu, sebanyak 64 premis dikenakan kompaun dan 394 disita dalam beberapa operasi yang sama sebelum ini yang turut disertai pihak berkuasa.
“Terdapat juga bebeberapa premis yang diputuskan bekalan elektrik kerana ingkar dengan arahan dan notis yang telah diberikan,” katanya.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan bagi membanteras kegiatan judi dan premis tanpa lesen khususnya di kawasan majlis daerah Petaling Jaya.
Tambahnya, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada pemilik premis yang menyalahgunakan lesen perniagaan yang diluluskan untuk kegiatan lain.
Jelasnya mereka akan disiasat dibawah akta Undang-Undang Kecil (UUK 3) Pusat Siber dan Kafe Siber (MBPJ 2007).
Turut serta dalam operasi tersebut, Penolong Pengarah Penguatkuasa AADK Selangor, Nani Sikin dan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBPJ Zon 17, Megat Iskandar Megat Ahmad Supian.
Sementara itu, Megat berkata, pihaknya akan memberikan sokongan terhadap operasi seumpamanya bagi mengurangkan gejala sosial.
“Saya bimbang dengan pengaruh negatif terhadap golongan pelajar yang banyak mengunjungi pusat tersebut dan usaha membanterasnya harus dipergiat,” ujarnya.