Lebih 400 ahli sukarelawan menyertai pelancaran program menanam pokok Shah Alam fasa pertama secara berperingkat dianggarkan 10,010 spesis pokok akan menghiasi sepanjang tebing Sungai Damansara tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Taman dan Rekreasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Tahir Man berkata program penanaman pokok di Sungai Damansara ini akan diadakan selama empat minggu berturut-turut.
Menurutnya, program ini akan diadakan secara berperingkat merangkumi empat fasa bermula hari ini (27 September), 3 Oktober, 10 Oktober serta pelancaran program pada 17 Oktober yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Program ini melibatkan kerjasama PBT dan badan Sathya Sai sempena sambutan 10 tahun MBSA yang akan berlangsung pada 10 Oktober ini,” katanya kepada Komunitikini di Program Penanaman Pokok Shah Alam 2010 semalam.
Sukarelawan terdiri daripada wakil persatuan penduduk, kakitangan majlis daerah, penuntut institut pengajian tinggi awam, agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi.
Mereka dilihat memulakan aktiviti menanam pokok di sepanjang tebing sungai yang berakhir kira-kira empat jam kemudiannya.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan Sungai Damansara, ujarnya idea untuk memilih sungai tersebut sebagai lokasi program menanam pokok tercetus ketika menghadiri sesi perbincangan kira-kira empat bulan yang lalu.
“Penganjuran program ini dilihat sebagai salah satu inisiatif majlis bandaraya memberikan sokongan membantu Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) mengindahkan kawasan sekitar tebing sungai daripada terbiar,” katanya.
Sementara itu, Presiden The Rotary Club Of Damansara West District 33000, Rassa Ramli menyifatkan aktiviti ini sebagai salah satu usaha mendidik masyarakat setempat menghargai alam sekitar.
Menurutnya, persatuan itu begitu aktif mengadakan aktiviti kemasyarakatan serta tidak melepaskan peluang untuk mengikut program khidmat sosial yang dianjurkan di negara ini.
“ Program sebegini perlu dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memupuk kesedaran dalam diri dan komuniti setempat menghargai betapa pentingnya menjaga kehijauan alam flora dan fauna,” katanya.