18 cedera bas terbalik di Lebuhraya Karak

18 cedera bas terbalik di Lebuhraya Karak

Che Hussin berkata, bas itu yang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Batu Pahat dan membawa 25 penumpang terbabas akibat jalan licin ketika menuruni jalan di laluan tersebut.

Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di Km 35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika hujan lebat.

Bas itu yang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Batu Pahat dan membawa 25 penumpang terbabas akibat jalan licin ketika menuruni jalan di laluan tersebut, katanya.

Che Hussin berkata mangsa yang cedera dirawat di Hospital Selayang manakala yang tidak mengalami kecederaan meneruskan perjalanan ke destinasi dengan menaiki bas lain.

Tujuh yang cedera mengalami patah dan retak tulang manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar, katanya.

Beliau berkata antara yang mengalami cedera agak teruk itu ialah seorang wanita warga China dan seorang lelaki rakyat Indonesia.

Bas tersebut katanya, membawa tujuh rakyat tempatan manakala bakinya adalah warga asing.

Sementara itu, pemandu bas Atan Mohamad, 44, berkata dia tidak memandu laju kerana keadaan hujan lebat serta jalan yang licin.

“Semasa saya memandu tiba-tiba air melimpah di atas jalan menyebabkan saya tidak dapat mengawal bas lalu melanggar penghadang jalan dan terbalik,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Atan, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Seorang penumpang, Manja Kasim, 28, yang mengalami cedera ringan berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila menyedari bas tersebut sudah terbalik.

-BERNAMA