Tidak berperikemanusiaan dan binatang, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan penemuan beg berisi mayat bayi perempuan dibaluti tuala di sebuah kolam begitu popular di kalangan kaki pancing sekitar kawasan ini.
Lebih mendukacitakan, mayat bayi perempuan dipercayai baru beberapa jam dilahirkan dan bertali pusat itu dijumpai oleh seorang penjala ikan kira-kira jam 11 pagi semalam.
Penjala ikan, Badrul Abdul Rashid, 24, ketika ditemui berkata pada mulanya beliau
hanya memerhatikan dari jauh dan menjangkakan di dalam beg itu hanyalah sampah sarap sahaja.
Menurutnya, setelah diamati rupa bentuk beg itu secara dekat, beliau mendapati ada sesuatu berlainan dan takut hendak membuka beg tersebut.
”Saya cuba usik-usik beg itu menggunakan kayu dahulu. apabila beg itu terbuka, saya tergaman seketika bila lihat kaki bayi dan terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan bangunan berhampiran,”katanya.
Difahamkan kawasan berhampiran sebuah kondominium itu popular dan sering menjadi tumpuan kaki pancing dan remaja melepak berikutan terdapat asrama pelajar di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata bayi itu dipercayai sudah mati sebelum mayat dibungkus dalam beg dan ditinggalkan di situ.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati bayi berkulit gelap tersebut baru beberapa jam dilahirkan berikutan keadaan tali pusatnya yang masih belum dipotong.
”Berdasarkan lokasi beg itu ditemui, pihaknya percaya suspek cuba mencampakkan beg berisi bayi itu ke dalam kolam itu namun ianya tersangkut di tebing kolam itu.
”Selain itu, kita turut menemui kain pembedahan berwarna hijau yang digunakan suspek untuk membungkus mayat bayi yang lazimnya digunakan oleh klinik ataupun hospital namun perkara itu kita masih siasat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Arjunaidy berkata, mayat bayi perempuan tersebut dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
Jelasnya, kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 318 dan 302 kanun keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” ujarnya.