Saya pasrah, begitulah yang boleh diungkapkan apabila hasrat seorang warga emas ingin memiliki kaki palsu baru tidak kesampaian kerana tidak mempunyai sumber kewangan untuk menampung kos pembelian bagi menggantikan kaki palsu yang lama digunakan sejak 16 tahun lalu.
Kassim Hassan yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU),88 ketika ditemui melahirkan perasaan sedih kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak serta turut dijaga oleh isterinya.
Menurutnya, kaki sebelah kiri telah dipotong pada tahun 1994 akibat menghidapi penyakit diabetes dan menerima kaki palsu setelah memohon bagi memudahkannya melakukan kerja seharian.
“Saya benar-benar memerlukan bantuan kewangan membuat kaki palsu baru bagi memudahkan saya berjalan dan menguruskan dirinya sama seperti insan lain.
“Sudah hampir 16 tahun saya guna kaki palsu ini, tetapi rasa sudah rosak dan tidak selesa digunakan lagi. Kadang kala membuatkan saya rasa susah untuk bergerak jauh,” katanya yang mempunyai 31 cucu hasil perkongsian bersama dua orang isteri.
Beliau memberitahu kaki palsu yang dibeli dahulunya berharga RM4,000.
“Saya berharap agar ada pihak yang tampil sudi memberikan sumbangan,” ujarnya.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Hasan Ali bersama wakil Pusat Zakat, Salahudin Azmi Mohd Ali mengunjungi teratak usang milik keluarga itu.
Hasan ketika ditemui berharap supaya Pusat Zakat dapat memberi bantuan bagi meringankan bebanan terpaksa ditanggung keluarga malang itu.
Menurutnya, bantuan ini wajar diberikan memandangkan isterinya yang tidak bekerja untuk menjaga suami yang uzur serta tidak mempunyai pendapatan yang tetap dengan mendapat perhatian dan simpati daripada jiran yang terdekat sahaja.
“Saya amat berharap mereka disenaraikan sebagai ‘asnaf’ dan semoga keinginan beliau untuk mendapatkan kaki palsu baru akan tercapai sebelum tibanya bulan syawal tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Wakil Pusat Zakat, Salahuddin Azmi Mohd Ali berkata bagi meringankan beban yang dihadapi, pihak pengurusan akan menyalurkan bantuan kewangan RM600 setiap bulan kepada keluarga itu.
Mengenai permohonan sumbangan untuk membuat kasut kaki palsu, ujarnya, pihaknya akan mengusulkan permohonan kepada lembaga zakat.
“Insyallah sumbangan ini akan disampaikan pada bulan Syaaban yang akan tiba tidak lama lagi supaya mereka dapat menikmati kegembiraan bulan Ramadan dan menyambut Aidilfitri dengan gembira,” ujarnya.