Penduduk gagal tuntut gantirugi ke atas JPJ

Penduduk gagal tuntut gantirugi ke atas JPJ

Penduduk mengemukakan tuntutan ke atas JPJ di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur gara-gara berang di atas kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha pemandu lori parkir kenderaan di tepi jalan taman perumahan.

P22-07-10_11.34

Gara-gara berang di atas kegagalan pihak berkuasa  mengambil tindakan terhadap pengusaha pemandu lori parkir kenderaan di tepi jalan  taman perumahan Lucky Garden, Puchong  sejak setahun lalu.

Penduduk, M. Selvamanickaraja bertindak mengemukakan tuntutan ke atas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di hadapan Hakim Majistret, Sazlinidayu Kamarul Baharin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

P22-07-10_11.02

Beliau sebagai planitif menamakan Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Salim Parlan  sebagai defendan untuk menuntut kos kerugian berjumlah RM 1850.38.

Namun, setelah mengadakan perbincangan dengan peguam defendan, Norhafiza Kamaldin dan hakim selama 15 minit secara tertutup, akhirnya kes tersebut ditarik balik.

Ditemui Komunitikini diluar perkarangan mahkamah, M.Selvamanickaraja berkata beliau dinasihatkan mengemukakan aduan kepada DBKL untuk mengambil tindakan ke atas pemandu lori.

P22-07-10_10.48[1]

“Saya beritahu mereka sepatutnya mereka memperjelaskan perkara ini sejak dari awal lagi kerana saya dah failkan kes ini pada bulan November tahun lepas. Sehingga bulan Mac saya tidak diberitahu langsung ke mana perlu saya laporkan masalah dihadapi.

“Secara asasnya kalau saya diberitahu untuk berjumpa dengan DBKL atau pengusaha syarikat lori atau sesiapa saja, saya akan lakukan, tidak perlu saya bersusah payah membawa perkara ini ke mahkamah.

“Saya ingat tindakan saya (membawa kes ke mahkamah) adalah betul, tetapi pihak JPJ tidak beritahu (dari awal) hanya menyatakan ini diluar bidang kuasa.

P22-07-10_10.48

Menurutnya, merujuk kepada kes, ini baru seorang (beliau) yang mengadu mengenai masalah ini, bagaimana pula dengan 1,000 orang yang menghadapi masalah serupa.

Ditanya mengapa tidak melantik peguam, beliau tidak kisah sama ada menang atau kalah dalam kes ini, buat apa nak lantik peguam kerana tuntutan kes ini bukannya besar.

“Apa yang penting saya memperjuangkan hak selaku rakyat Malaysia sekali gus membuka mata semua pihak dan sewajarnya pihak berkuasa mengambil langkah proaktif mengutamakan masalah dihadapi masyarakat,” katanya.

Komunitikini difahamkan, tujuan utama tuntutan dikemukakan kerana planitif mengalami kerugian kerosakan kereta disebabkan oleh defendan tidak mengambil sebarang tindakan.

Planitif mendakwa daripada 5 November 2009 sehingga 10 Mac 2010 pihak JPJ  mengambil sikap endah tak endah terhadap aduan dan permintaan seorang rakyat dan pembayar cukai yang menyoal berkenaan penguatkuasaan yang lemah.

Defendan sebagai sebuah agensi kerajaan yang membenarkan pemilik lori secara automatik terikat dibawah konsep “duty of care” dan planitif sebagai rakyat Malaysia membayar cukai kepada defendan mempunyai kuasa tindakan terhadap defendan.

Tuntutan yang dikemukakan:-

a) Kos membaiki kereta Nissan RM 892.50 b) Kos membaiki kereta Mitsubishi RM 457.88 c) Pengangkutan ulang alik RM 500.