Pekawanis menganjurkan program kitar semula sisa minyak masak kepada biodesel dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Flat Pinggiran, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Hasan Mohamed Ali berkata objektif utama mengadakan program alam sekitar ini adalah untuk menyokong agenda Kerajaan Negeri selangor bagi membersih Sungai Klang dan untuk membangunkan sekitar tebingnya.
Menurutnya, disamping itu juga ia bertujuan memberi kemahiran dalam pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar kepada rakyat khususnya bagi mendidik surirumah tangga.
“Pendedahan ini penting kepada surirumah agar minyak masak yang sudah dipakai tidak dibuang begitu sahaja dengan mengalirkan ke dalam sinki, longkang, sungai kerana jika ianya dilakukan sisa minyak tersebut akan menjadi pejal dan seterusnya menjadi lilin.
“Jika kerap menggunakan minyak yang telah digunakan maka ianya akan memberi kesan kepada diri sendiri iaitu mengalami berbagai penyakit dan perkembangan minda juga menjadi terbantut dan lembap,” katanya.
Majlis tersebut dirasmikan dengan gimik Pelancaran Projek dan upacara penyerahan Tong Minyak Terpakai dari Luas oleh Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut.
Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Pengerusi Tetap Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail, Pegawai Laut, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syabas, Mazlan Idrus.
Antara agensi terlibat Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Syabas dan ahli jawatankuasa penduduk Flat Pinggiran Batu Caves.
Selain itu, HasanĀ yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia turut menasihati penduduk yang hadir membawa minyak masak yang dikumpul pada hari sabtu di perkarangan padang Flat Pinggiran untuk dijual kepada pihak kontraktor yang dilantik.
Menurutnya, sebahagian hasil yang dijual akan dibahagikan kepada pihak penganjur dan surau untuk bersama menikmati hasil jualan tersebut.
“Pelbagai aktiviti bermanfaat boleh dibuat tanpa mengira bangsa, agama mahupun pemahaman politik yang berbeza untuk mengeratkan siraturrahim antara penduduk dan agensi terbabit,”ujarnya.