Penduduk terutamanya pengguna jalan raya yang melalui Jalan 224 dan 229 di sini, meluahkan kebimbangan berikutan bulatan di persimpangan jalan berkenaan sebagai mengelirukan.
Penduduk yang ditemui, Suhaimi Shaari berkata bulatan berkenaan tidak banyak membantu melancarkan aliran trafik di kawasan itu, malah mendakwa menjadi punca kemalangan melibatkan penunggang motosikal dan pemilik kenderaan .
Katanya, disamping itu, kesesakkan lalu lintas turut berlaku terutamanya pada waktu puncak.
“Bulatan kecil itu sebenarnya tidak membantu melancarkan aliran trafik di kawasan ini, malah menjadi antara salah satu punca berlakunya kemalangan terutamanya melibatkan pengguna yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
“Disamping itu, penduduk berhampiran juga terkena tempiasnya apabila kesesakan lalu lintas berlaku terutamanya pada waktu puncak iaitu pada pagi dan tengahari,” katanya.
Katanya lagi, disebabkan masalah itu, ada penduduk terutamanya mereka yang mahu keluar bekerja dan bersekolah terpaksa menanggung risiko sampai lewat ke destinasi masing-masing.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal yang ditemui, Salikin Sadik mencadangkan agar pihak berwajib memasang papan tanda bagi memaklumkan pengguna bahawa terdapat bulatan di situ.
Katanya, melalui langkah itu ia dapat mengelakkan kekeliruan pengguna terutamanya mereka yang baru pertama kali menggunakan laluan tersebut.
“Saya cadangkan pihak berwajib memasang papan tanda di persimpangan ini bagi memaklumkan pengguna.
“Melalui langkah ini, insiden kemalangan yang kerap berlaku dapat dikurangkan,” katanya.
Pemandu teksi, Wong Sai Kong pula mencadangkan pihak berwajib memasang lampu isyarat di laluan berkenaan.
Katanya, sekiranya lampu isyarat di pasang di situ, pengguna akan lebih berhati-hati dan tidak memandu secara merbahaya.
“Ada pengguna yang memandu mengikut perasaan kerana mahu cepat sampai ke destinasi masing-masing.
“Sudahlah terkeliru, motosikal atau kenderaan pula dipandu laju di sini, sehingga berlanggar sesama sendiri.
“Jika lampu isyarat dipasang, semua masalah seperti kemalangan dan kesesakkan yang timbul sebelum ini dapat dielakkan,” katanya.
Tinjauan Komunitikini ke lokasi bulatan berkenaan mendapati ada segelintir pengguna memandu secara merbahaya ketika melalui laluan tersebut.
Dakwaan penduduk bahawa laluan berkenaan kerap berlaku kemalangan juga berasas, apabila sebuah motosikal yang ditunggang laju dilihat hampir melanggar bahagian sebuah teksi.