Golongan orang kelainan upaya (OKU) di Petaling Jaya Selatan (PJS) bakal menikmati kemudahan bas transit yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pengerusi Basmi Kemiskinan Bandar MBPJ, Halimey Abu Bakar berkata, kemudahan itu bagi memudahkan golongan terbabit bergerak ke satu-satu destinasi dengan mudah dan selesa.
Katanya, perkhidmatan yang diperkenalkan itu membuktikan MBPJ tidak meminggirkan golongan berkenaan.
“Masih ramai yang tidak mengetahui MBPJ menyediakan perkhidmatan khusus bagi golongan OKU dan warga emas.
“Diharap selepas ini, penduduk dapat memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kemudahan bagi penduduk miskin, OKU dan warga emas di pasar Taman Datuk Harun, di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohd Talha dan Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ, Sharipah Marhaini Syed Ali.
Sementara itu katanya, bagi keselesaan golongan terbabit, MBPJ membina tempat letak kereta berbumbung serta menaik taraf tandas dan jalan mesra OKU.
Katanya, usaha itu telah dimulakan di Seksyen 52, manakala kawasan lain akan mendapat kemudahan berkenaan secara berperingkat.
Halimey berkata, bagi memudahkan pemantauan, golongan dan penjaga OKU perlu memohon pelekat khas daripada MBPJ.
Langkah itu, katanya, bagi memudahkan MBPJ mengenal pasti golongan OKU dan mengelak kemudahan itu daripada disalahgunakan orang lain.
“Mereka yang didapati menyalah guna kemudahan itu akan dikenakan saman sebanyak RM300,” katanya.
Katanya lagi, MBPJ akan melaksanakan empat strategi dalam menyediakan kemudahan untuk OKU di bandar raya ini.
Antaranya mengubah suai bangunan sedia ada di Petaling Jaya bagi kemudahan mereka, selain mengubah suai bangunan Perpustakaan Komuniti dan ibu pejabat MBPJ.
“Strategi lain termasuk menyediakan kemudahan laluan khas di beberapa tempat, lampu isyarat berbunyi, laluan pejalan kaki dan penghadang,” katanya.