Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Pihak Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan ahli majlis akan mengadakan program bantuan kepada golongan miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan warga emas di Taman Medan.
Adun Taman Medan Haniza Mohamed Talha berkata, sebagai langkah awal program ini akan mencari 100 orang golongan yang memerlukan bantuan di Taman Medan.
Menurutnya antara golongan yang disasarkan di dalam pencarian ini adalah orang miskin, OKU dan warga emas yang tidak berkemampuan.
“Di antara perkhidmatan dan bantuan yang disediakan adalah membantu kemudahan asas golongan sasaran di mana rumah mereka yang mengalami kerosakan seperti kebocoran, tidak kukuh, atau pun diserang anai-anai akan dibantu,”katanya dalam satu kenyataan media kepada Komunitikini.
Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor berkata, selain itu, bantuan perkhidmatan van percuma untuk golongan OKU, terutamanya yang berkerusi roda akan ditawarkan bagi memudahkan urusan penghantaran ke hospital, klinik, ataupun untuk ke tempat lain dirasakan perlu.
Katanya, perkhidmatan bas percuma RapidKL turut disediakan kepada golongan miskin sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan.
“Pihak kami berharap dengan adanya program seumpama ini akan dapat membantu golongan memerlukan sekali gus merasakan diri mereka tidak dipinggirkan,”katanya.
Jelasnya, Selangor merupakan negeri paling maju di negara ini dengan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2009 mencapai RM 114.3 bilion dan dijangka meningkat kepada RM116.8 bilion menjelang akhir tahun ini.
“Namun kepesatan ini tidak menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya kerana masih ada lagi sebahagian penduduk yang terpinggir dari arus pembangunan,”ujarnya.