Trauma dengan kejadian puting beliung melanda Kota Damansara Isnin lalu, seramai 36 peniaga kecil dibawah program kewangan mikro bandar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara berharap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membina gerai berbumbung di kawasan tersebut.
Salah seorang peniaga, Siti Ramlah Shamsuddin, 57, ketika ditemui Komunitikini berkata, beliau bimbang keselamatan diri terancam selain menanggung kerugian lebih besar jika kejadian itu berulang kembali .
Menurutnya masalah ini perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan penjaja di situ menyara kehidupan seharian dengan berniaga.
“Pernah satu ketika hujan lebat, saya terpaksa memegang kuat tiang untuk mengelakkan khemah daripada terbang. Kejadian sebegini memang sering berlaku dan diluar jangkaan.
“Saya serik nak beli khemah lagi, sudah dua kali musnah diterbangkan angin. Macam mana kami hendak meniaga kerana sumber pendapatan seharian terjejas,” katanya dalam nada sayu.
Sementara itu,Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 8, Saniah Yusof, 45, berkata, MBPJ perlu melaksanakan langkah keselamatan dan pencegahan awal seperti membina gerai berbumbung.
Beliau berpendapatan sekiranya gerai berbumbung dibina, masalah itu dapat diatasi kerana penjaja tidak perlu menanggung kerugian jika angin kencang berlaku teruk di kawasan itu.
Menurutnya, penjaja di situ tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain dari menjaja dan keadaan itu menyulitkan mereka lebih-lebih lagi apabila terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk membeli khemah baru.
“Bayangkan harga satu khemah bernilai RM175 sedangkan pendapatan mereka diibaratkan seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang .
“Tidak memadai untuk mereka mengeluarkan belanja menggantikan khemah yang rosak jika ribut berlaku sekali lagi,” katanya.