Penduduk Kota Damansara digemparkan dengan kejadian `puting beliung` bencana alam yang terburuk pernah melanda kawasan perumahan itu, lewat petang kelmarin.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 8, Sadiah Yusof ketika ditemui Komunitikini mendakwa kejadian puting beliung berlaku dengan pantas hanya mengambil masa selama tiga minit.
Menurutnya, seksyen 6, 7, 8, 9, 10 dan 11 merupakan kawasan terjejas dilanda bencana alam tersebut.
Dalam kejadian itu,sebanyak 36 gerai pusat peniaga kecil dibawah program kewangan mikro bandar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota damansara Seksyen 8 turut musnah.
“Sebuah lori 3 tan terbalik manakala puluhan kenderaan remuk dihempap pokok tumbang dan bumbung blok bangunan turut sama diterbangkan angin puting beliung.
“Kami berharap kerajaan negeri dan pihak berwajib memberikan bantuan dan mengkaji semula infrastruktur dan ekosistem mungkin ada angin lintang di kawasan ini kerana sebelum ini pernah berlaku kejadian seumpama ini tetapi tidaklah seteruk ini,” ujarnya.
Penduduk lewat terima bantuan: kerajaan negeri perlu menubuhkan satu tabung kecemasan bencana alam
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim menyifatkan kejadian puting beliung yang melanda sekitar kawasan perumahan di sini sebagai sesuatu berita amat mengejutkan.
Beliau mendapati seksyen 7 dan 8 merupakan kawasan paling teruk terjejas di mana seramai 318 keluarga terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaran membaiki bumbung tercabut.
Lantaran itu, beliau mengadakan perjumpaan bersama agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi menangani masalah dihadapi penduduk dengan segera
“Saya bersimpati dengan nasib melanda penduduk dan berharap mereka bersabar dengan kejadian yang menimpa,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan menemui penduduk Seksyen 8, Kota Damansara, petang tadi.
Pada sidang media diadakan dalam suasana yang serba ringkas, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan satu tabung kecemasan bencana alam kepada penduduk di negeri ini.
Menurutnya, ia bagi menangani masalah dihadapi dengan segera khususnya kes kecemasan bencana alam melibatkan penduduk dan peniaga kecil.
“Sebagai contoh, dengan adanya tabung kecemasan sekali gus dapat disalurkan dengan pantas kepada penduduk yang mengalami kes diluar jangka seperti bencana alam.
“Kebajikan penduduk perlu diutamakan, sampai bila mereka harus menunggu bantuan. kerajaan negeri perlu lebih telus menangani masalah penduduk dengan segera serta mengurangkan karenah birokasi menjadi punca bantuan lewat diterima penduduk.,”tegasnya.
Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Nasir pernah memohon bantuan segera untuk mangsa banjir kilat di Kampung Melayu Subang pada 24 April lalu.
“Namun, tiada sebarang bantuan disalurkan kepada mangsa. Sepatutnya masalah ini selesai dalam jangka masa dua minggu dan bukannya mengambil tempoh yang panjang,”katanya dalam nada kesal.
Ditanya mengenai tafsiran jumlah anggaran kerugian disebalik kejadian itu,katanya, masih belum dapat dipastikan kerana sedang menunggu laporan daripada pengerusi persatuan terlibat.
Dalam perkembangan lain, Pengarah unit Aduan Awam Ibu Pejabat MBPJ, Tengku Nazaruddin Zainudin berkata kejadian ribut pernah melanda kawasan perumahan Desa Mentari baru-baru ini.
Menurutnya, berdasarkan aduan diterima, pihaknya mengenalpasti beberapa lokasi di daerah ini sering dilanda ribut antaranya hutan simpan kekal di Kota Damansara.
“Sehingga hari ini, kami sedang giat melaksanakan kerja penyelenggaran dan pembersihan di sekitar kawasan serta mengantikan semula bumbung rumah serta dewan mengalami kerosakan,”katanya.